Wednesday, November 11, 2009

Kisah Dua Kerajaan


Alkisah terdapat dua buah kerajaan kecil yang berjiran dan bersahabat. Kedua kerajaan cukup makmur dan dipimpin oleh raja-raja yang bijaksana. Namun demikian, raja dari negara yang pertama selalu memerintahkan perdana menterinya untuk membuat isu-isu untuk membuat rakyatnya menjadi gusar. Pernah suatu kali raja bertitah bahawa kerajaannya akan di landa musim kemarau yang panjang sehingga rakyatnya terpaksa bekerja keras untuk menanam dan mengumpulkan bahan mentah dalam jumlah yang besar. Di masa lain, si raja bertitah bahawa kerajaannya akan diserang oleh kerajaan besar dengan tentera yang kuat sehingga rakyat diminta untuk ikut mengikuti latihan tentera.

Di waktu lain lagi, raja bertitah bahawa kerajaannya akan muflis sehingga rakyatnya berusaha keras untuk menyumbangkan sebahagian harta peribadi untuk kerajaan. Pada malam perayaan tahun baru, raja bertitah ada ramai pencuri berkeliaran sehingga rakyat harus berwaspada di tengah perayaan. Demikianlah, tahun demi tahun, walaupun negara tersebut makmur, tapi rakyatnya tidak pernah merasakan kemakmuran dan ketenangan dalam hidup. Sebaliknya, raja dari negara kedua yang cukup bijak, selalu membahagi-bahagikan kekayaan negara, dan merayakan tahun baru dengan meriah sehingga rakyatnya benar-benar gembira dan hidup dalam suasana serba cukup.

Suatu hari, raja dari negara kedua berkunjung ke negara pertama. Melihat isu-isu yang dilontarkan raja pertama kepada rakyatnya, maka bertanyalah raja kedua sambil kebingungan, "Negaramu sudah makmur, mengapa kau selalu membuat isu yang sebenarnya tidak pernah terjadi, sehingga rakyatmu gusar dan tidak boleh menikmati kemakmuran yang ada?"

Raja pertama menjawab, "Kemakmuran dan suasana yang selalu gembira akan membuat rakyatku leka, maka sekali-sekala aku membuat mereka gusar, sehingga tanpa sedar mereka akan berwaspada dan memiliki semangat juang yang tinggi untuk berbakti pada negaranya." Mendengar hal ini raja kedua hanya tertawa dan menggelengkan kepala, "Ada-ada saja", katanya.

Beberapa bulan setelah kunjungan tadi, kedua wilayah kerajaan yang saling berdekatan ini benar-benar dilanda musim kemarau. Melihat kesempatan ini, orang-orang dari sekutu lain menyerang mereka. Rakyat di kerajaan kedua benar-benar terkejut, mereka yang sudah lama berhadapan dengan musim kemarau, lari meninggalkan kerajaannya, kerana tidak tahan lagi menghadapi serangan dari pihak musuh. Sebaliknya, rakyat dari kerajaan pertama, kerana sudah dibiasakan hidup dalam keadaan sulit, tetap berwaspada, bahkan ramai di antara mereka secara suka rela bergabung menjadi tentera. Bencana kemarau tidak melunturkan semangat juang mereka. Maka, kerajaan pertama dapat menghalau serangan daripada pihak lawan, bahkan membantu kerajaan tetangganya untuk bertahan.

Setelah perang berakhir, sekali lagi raja dari negara kedua berkunjung. Dia berkata, "Sekarang aku faham mengapa kau bertitah akan hal-hal yang membuat rakyatmu gelisah." Mendengar kata-kata raja dari negara kedua, raja pertama tertawa dan berkata, "Sahabatku, bukankah tanah liat yang buruk rupanya boleh dibentuk, dibakar, dan dihias, dan akhirnya akan menjadi seramik yang indah? Seseorang yang sudah terbiasa menempuh liku-liku kehidup, akan memiliki semangat juang yang tinggi dan mampu bertahan."

Dari cerita diatas, dapat kita lihat, bahawa seseorang yang sudah terbiasa mengalami kesulitan akan lebih kreatif dan mampu "survive" dalam kehidupan. Misalnya kita yang sering terjerumus dalam permasalahan, akan berusaha untuk mencari "jalan keluar" dan membuatnya lebih kreatif serta lebih mengetahui selok belok perjalanan hidup. Oleh itu, saat menghadapi dugaan hidup, janganlah kita berputus asa, tetap berusaha, kerana setelah dugaan dan ujian berlalu, diri kita akan menjadi "produk" yang lebih baik lagi. "Hanya penderitaan hidup yang dapat mengajarkan kepada manusia akan erti keindahan dan nilai kehidupan." Kita boleh mengharapkan semua urusan berjalan dengan lancar tetapi jauh lebih baik bila kita siapkan mental dan berani menghadapi setiap masalah yang datang kepada kita. Kita juga boleh menguruskannya kerana kita sudah melalui liku-liku kehidupan yang sebenar dan juga kita sudah terbiasa dengan permasalahan yang telah kita hadapi.... !!!

Sunday, November 8, 2009

Berfikirlah dari Sudut Pandang yang Berbeza


Seorang lelaki buta duduk di tangga sebuah bangunan dengan sebuah topi terletak di kakinya. Dia mengangkat sebuah papan yang telah tertulis : 'Saya buta, tolong saya.' Hanya ada beberapa keping duit yang terdapat di dalam topi itu.

Beberapa minit kemudian seorang lelaki berjalan melewati tempat lelaki buta ini lalu terpandang lah dia akan papan tersebut dan dengan segera dia mengambil beberapa keping duit kertas dari sakunya dan meletakkannya ke dalam topi itu. Kemudian dia mengambil papan tadi dan memadamkan perkataan yang ada lalu menulis beberapa kata. Lelaki itu meletakkan papan itu kembali sehingga orang yang lalu lalang dapat melihat apa yang dia baru sahaja tulis.

Segera sesudahnya, topi itu pun terisi penuh. Semakin ramai orang memberi duit kepada lelaki buta ini. Lewat petang, lelaki yang telah mengubah kata-kata di papan tersebut datang untuk melihat perkembangan yang terjadi. Lelaki buta ini mengenali langkah kakinya dan bertanya, 'Apakah kamu yang telah mengubah tulisan di papanku pagi tadi? Apa yang kamu tulis?'

Lelaki itu berkata, 'Saya hanya menuliskan tentang kebenaran. Saya menyampaikan apa yang kamu telah tulis dengan cara yang berbeza.' Apa yang dia telah tulis adalah: 'Hari ini adalah hari yang indah dan saya tidak boleh melihatnya.' Bukankah tulisan yang pertama dengan yang kedua sebenarnya sama saja?.

Tentu erti tulisan itu sama yang membawa maksud lelaki yang sedang duduk di tangga ini sememangnya buta.

Tetapi, tulisan yang pertama hanya mengatakan bahwa lelaki itu buta. Sedangkan, tulisan yang kedua mengatakan kepada orang ramai bahawa mereka sangatlah beruntung kerana mereka dapat melihat. Tidakkah kita merasa bahawa tulisan yang kedua lebih efektif.


Moral dari cerita ini :

Bersyukurlah dengan apa yang telah kita miliki. Kita juga kenalah kreatif dan inovatif. Berfikirlah dari sudut pandang yang berbeza dan positif agar sesuatu perkara itu mendapat pulangan yang lebih baik.

Ajaklah orang-orang lain menuju ke arah kebaikkan dengan beradab dan penuh sopan. Jalani hidup ini tanpa dalih dan mengasihi tanpa rasa sesal. Ketika hidup janganlah kita memberi 100 alasan untuk menangis, tunjukkan pada semua bahawa kita hidup dapat memiliki 1000 alasan untuk tersenyum.

Hadapi masa lalu tanpa penyesalan. Tangani saat sekarang dengan percaya diri. Bersiaplah untuk masa depan tanpa rasa takut. Peganglah iman dan tinggalkan ketakutan.

Orang bijak berkata, 'Hidup harus menjadi sebuah proses pembaikkan yang terus berlanjutan, membuang kejahatan dan mengembangkan kebaikan. Jika kita ingin menjalani hidup tanpa rasa takut, kita harus memiliki hati nurani yang baik sebagai tiketnya.

Hal yang terindah adalah melihat seseorang tersenyum. Tetapi yang membuatkannya lebih indah apabila diri kita lah yang membuatkan semua orang itu tersenyum !!!