Hati manusia adalah tempat pandangan Allah swt. Ia merupakan tapak semaian iman, tempat bertunas dan bercambah ke seluruh anggota badan dalam bentuk amalan yang merupakan bunga atau buah daripada apa yang telah tertanam di dalam hati.
Hati manusia adalah tempat yang telah dipilih oleh Allah swt sebagai wadah ataupun bekas kepada fitrah, akal dan hikmah. Oleh itu hati sanubari adalah sentiasa jujur dan benar walaupun terkadang mulut pandai berbohong dan tangan berani mengambil sesuatu yang haram.
Hati manusia pula adalah raja bagi seluruh anggota badan. Ia merupakan sumber pergerakkan dan tindakan, maka apabila hati itu baik akan baiklah seluruh anggota badan dan apabila hati itu rosak maka akan rosaklah seluruh anggota badan, seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang berbunyi :-
Perhatikan! sungguhnya di dalam badan seseorang itu ada seketul daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh anggota badan dan apabila ia rosak maka akan rosaklah sekalian anggota badan. Ketahuilah itulah yang dikatakan hati.
Maka hati yang baik akan menyuruh anggota badannya berbuat kebaikan dan sebaliknya hati yang rosak akan menyuruh anggota badan berbuat kerosakan dan kemaksiatan. Hati yang sakit teruk sangat susah untuk diubati, samalah halnya dengan penyakit yang sudah terlalu teruk, maka sangat susah untuk dirawat dan diubati. Namun peluang untuk merawatnya masih ada. Pintu taubat masih lagi terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang benar-benar mengaharapkan keampunan. Hati yang sangat kotor masih dapat dibersihkan dan penyakit yang sangat teruk masih boleh diberi penawar, asalkan pesakit bersedia untuk dirawat dan diubati, dan sudah menjadi satu kepastian pesakit terpaksa menjaga pantang larang bahkan terkadang terpaksa dibedah atau dipotong sebahagian daripada anggotanya.
Kalau tubuh badan kita yang kasar ini ditimpa sebarang penyakit, tentulah kita akan segera menemui doktor untuk mendapatkan rawatan dan nasihat. Kita bimbang penyakit ini akan bertambah besar dan akan merebak ke seluruh anggota badan yang boleh membawa kepada kematian yang akan memisahkan kita dari segala jenis kelazatan dan kebahagiaan dunia ini. Maka penyakit yang ada di dalam hati yang merupakan tempat pandangan Allah swt itu adalah lebih mustahak untuk mendapat perhatian dan lebih utama untuk mendapat rawatan yang rapi dan pengubatan yang sempurna.
Cuba kita renungkan, begitu besar perhatian yang kita berikan terhadap tubuh badan kita yang kasar ini walaupun hanya sedikit penyakit yang datang menghinggapinya. Kita pasti akan segera membuat rawatan kerana takut mati yang menyebabkan kita terpaksa meninggalkan segala kelazatan dan kebahagiaan dunia ini, maka betapa kita tidak mahu mengambil berat dengan penyakit yang hinggap di hati kita, di mana jika kita biarkan dan tidak mahu membuat rawatan, kita bukan hanya sekadar terpisah dari kelazatan dan kebahagiaan yang bersifat sementara, tetapi kita akan terpisah dari kelazatan syurga yang kekal abadi. Sudah pasti jikalau seseorang itu tidak berpeluang masuk ke dalam syurga, ia akan diheret dan dicampakkan ke dalam api neraka yang sangat dahsyat dan mengerikan.
Oleh itu marilah kita memeriksa hati kita masing-masing, apakah ia sihat atau ianya berpenyakit. Selama ini apakah hati kita menjadi tempat iman yang mantap dan merupakan sumber kekuatan yang dapat mendorong untuk kita berbuat kebaikan ataukah ia telah menjadi sarang iblis atau istana syaitan yang telah menjadi sumber kekuatan yang selalu mendorong untuk kita melakukan dosa dan kemasksiatan. Cubalah kita meraba dada masing-masing dan bertanyakan kepada diri sendiri, sejauh mana ketaatan kita kepada Allah swt. Sudahkah kita merancang untuk masa depan kita di akhirat nanti, seperti kita telah merancang untuk hari tua kita di dunia ini. Sejauh mana persiapan yang telah kita sediakan untuk menghadapi kematian yang bila-bila masa mungkin menemui kita.
Maka bersiaplah sebelum terlambat dan bertaubatlah sebelum pintu taubat ditutup dan berusahalah untuk mengubati hati dan membersihkan jiwa daripada 'Akhlak Mazmumah' (sifat-sifat yang tercela) dan berusaha pula untuk menghiaskannya dengan 'Akhlak Mahmudah' (sifat-sifat yang terpuji) dengan bercerminkan kepada tunjuk ajar yang telah diwariskan oleh junjungan besar Nabi Muhammad saw sebagai hadiah yang besar kepada umatnya.
Bersesuaian dengan surah Asy-Syu'ra ayat 88-89 yang bermaksud :-
"Pada hari itu (hari qiamat) sudah tidak berguna lagi harta benda dan anak pinak, kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sihat (bersih)"