Sunday, August 31, 2008

Seringan-ringan Seksaan Di Neraka

Daripada No'man Bin Basyir Radhiallahu anhu berkata :-
Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya seringan-ringan seksaan penghuni Neraka pada hari kiamat ialah seseorang yang akan diletakkan di bawah telapak kakinya dua buah bara api Neraka sehingga mendidih (dari sebab panas kedua bara api tersebut) otak yang ada di kepalanya. Dia tidak mengira bahawa ada orang lain yang lebih dasyat seksaan daripadanya, padahal dialah orang yang paling ringan seksaannya".
H.R. Bukhari & Muslim
Cuba kita bayangkan betapa dasyatnya seksaan yang paling ringan di Neraka, dengan bahang kedua bara api yang diletakkan di bawah tapak kaki sudah boleh mendidihkan otak yang ada di atas kepala, maka betapa pula kalau seksaan yang lebih berat. Rasanya tidak ada seorang pun yang mampu untuk berdiri di atas bara api yang panas yang boleh menggelegakkan otak yang ada di kepala. Kalau kita tersentuh sedikit sahaja dengan api dunia ini, kita sudah menjerit kepanasan dan kita tidak akan mampu menahannya walaupun hanya dalam masa sehari atau seminggu sahaja, cuba bayangkan betapa pedihnya seksaan yang berterusan dan dari saat ke saat hanya bertambah panas di samping tekanan jiwa dengan putus harapan daripada selamat walaupun setelah jutaan tahun yang akan datang.
Orang yang akan diseksa dengan seksaan yang paling ringan ini ialah bapa saudara Nabi SAW yang bernama Abu Talib, kerana walaupun beliau mati dalam keadaan kafir, namun segala jasanya dengan mengasuh Rasulullah SAW sewaktu Baginda masih kecil dan dengan pembelaannya terhadap Baginda setelah diangkat menjadi Rasul, semua ini menyebabkan Abu Talib mendapat sedikit keringanan bila dibandingkan dengan orang-orang kafir yang lain.