Daripada Adily Bin Hatim Radhiallahu anhu berkata : Rasulullah SAW bersabda :
"Tidak ada seorang pun di antara manusia ini kecuali (pada hari qiamat nanti) akan dipercakapi oleh Allah SWT (dihadapkan ke Mahkamah Allah SWT). Maka pada waktu itu tidak ada orang lain yang sanggup menjadi jurubicara antara keduanya (sebagai orang ketiga atau peguam). Lalu orang yang dipercakapi oleh Allah SWT tadi akan melihat ke sebelah kanannya, maka ia tidak akan melihat melainkan hanya pahala kebaikan yang pernah ia lakukan ketika berada di dunia dahulu, dan apabila ia cuba melihat sebelah kiri, maka ia tidak melihat kecuali hanya balasan perbuatan jahat yang pernah dilakukannya ketika berada di dunia dahulu. Kemudia apabila ia melihat ke hadapan maka ia tidak melihat kecuali hanya api Neraka. Maka tanamkanlah rasa takut terhadapt api Neraka dan jauhilah seksaannya walaupun kalau kamu hanya mampu bersedekah dengan sebelah buah kurma sahaja".
H.R Bukhari & Muslim
Cuba kita bayangkan betapa dasyatnya suasana di Mahkamah Allah SWT pada hari qiamat nanti. Semua orang akan dihadapkan kepada Allah SWT, seorang demi seorang. Tidak ada seorang pun yang sanggup menolong orang lain, walaupun ia merupakan sahabat karibnya ketika di dunia dahulu, ataupun anak dan isterinya. Sebatang tubuh kasar yang kerdil ini akan berdiri tegak di hadapan Allah SWT Qadhi Rabbun Jalil, Yang Maha Mengetahui segala perbuatan hambaNYA dan mengetahui segala rahsianya. Gerangan mampukah kamu mengangkat mukamu yang bergelumang dengan dosa ini di hadapan Mahkamah Tuhanmu. Tiada pembantu atau peguam. Bila kamu menoleh ke kanan, seakan mahu meminta pertolongan, maka tiada yang ternampak kecuali hanya amalan kebaikan, dan apabila kamu menoleh ke kiri maka tiada yang ternampak kecuali hanya perbuatan maksiat yang pernah kamu lakukan, dan yang lebih dasyat daripada itu apabila kamu cuba mengangkat kepalamu, maka tidak ada yang ternampak hanya kemarakkan api Neraka yang terbentang sejauh mata memandang dan Syurga masih jauh di sana disebalik api yang menyala dengan garangnya itu. Kamu mesti melalui dan melintasi bahagian atas api Neraka tadi untuk sampai ke negeri Syurga yang telah menjadi idamanmu. Kamu belum pasti, apakah kamu akan mendapat kejayaan untuk sampai ke sana atau entahkah kamu akan terjatuh di tengah perjalanan, di mana kaki mu akan tergelincir dari titian "Shiratul Mustaqim" yang mengakibatkan kamu akan terjatuh ke jurang api Neraka jahannam. Na'uzubillah Min Zalik.
Nah! dari sekarang tentukanlah arah perjalananmu. Buatlah bekalan supaya kamu selamat di dalam perjalanan menyeberangi ke negeri Syurga. Buatlah kebaikan sebanyak mungkin, sedikit demi sedikit akhirnya menjadi bukit, sesungguhnya pada hari itu kamu sangat berhajat kepada pahala kebaikan, walaupun hanya pahala besedekah sebelah buah kurma sahaja.