Friday, October 31, 2008

Pergilah buat selamanya ...


Tiada khabar tiada berita,
senyap begitu saja,
tiada apa yang boleh nak dikata,
mulut tertutup badan binasa.
Bila berbicara orang tak suka,
pekak kan telinga butakan mata,
janji ditabur semuanya dusta,
sengsara diri hidup merana.

Hubungan sudah tak lagi mesra
saat berduka jiwa merana
Pergilah kau ke mana saja
membawa hati yang terluka
Biarlah bulan terus bicara
lembah hidup pasti ada
jangan di tambah dengan cuka
Hangatnya bagaikan neraka
semangat ku akan terus membara

Tuesday, October 28, 2008

Mengaku Kelemahan Diri

Kita manusia sering melalukan kesalahan, tidak kira kecil mahupun besar, sama ada secara sedar mahupun tidak. Apa yang penting kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Manusia tidak mempunyai sifat maksum seperti Nabi, jadi kita juga tidak boleh mengatakan ianya merupakan satu lumrah alam dalam melakkan kesalahan, kerana setiap Agama melarang manusia membuat kesalahan atau dosa. Kekadang manusia sedar akan kesalahan itu dan ada pula yang tidak sedar, maka timbul pula beberapa perkara di antaranya. Manusia yang sedar akan kesalahan dirinya sendiri hendaklah berubah sebelum orang lain menegur, ada di kalangan kita yang tahu akan kesalahan tersebut akan tetapi malang baginya tidak mahu mengaku kesalahan tersebut malah ada pula di antaranya menunding jari meletakkan kesalahan tersebut pada orang lain.
Ada juga manusia yang tidak sedar akan kesalahan yang dilakukannya dan apabila orang lain menegur mereka maka orang yang membuat kesalahan tidak dapat menerima teguran orang tersebut malah menempelak ke arah orang yang menegurnya tadi. Jenis manusia yang sebegini sememangnya manusia yang takut akan bayang-bayangnya sendiri, kebiasaannya manusia sebegini mempunyai sifat ego yang tinggi. Mereka sering melihat diri mereka benar dan sentiasa menyalahkan orang lain. Kita selalunya akan dapat mengenal pasti manusia yang sebegini, selalunya dalam percakapan ia akan membangga-banggakan diri sendiri. Selain daripada itu, percakapan nya sentiasa tentang perkara-perkara yang hebat-hebat belaka walaupun dia seorang yang tidak mempunyai jawatan atau sebarang kepentingan.
Manusia ini lah yang kebiasaannya tidak dapat menerima teguran atau mengaku kesalahan diri sendiri. Manusia sebegini juga selalunya tidak akan pernah memaafkan kesalahan orang. Apakah kita hendak menjadi salah seorang daripada mereka-mereka ini?. Jika tidak maka adalah lebih baik kita menerima dan mengaku kesalahan yang telah kita lakukan, jika terdapat orang yang menegur kita atas kesalahan yang telah kita lakukan maka anda haruslah berterima kasih kepadanya kerana orang yang menegur kita akan kesalahan kita, orang tersebut merupakan orang yang mengambil berat tentang kita dan orang tersebut menyayangi diri kita walaupun ia merupakan musuh ketat kita. Jadi kesimpulanya, menjadi manusia tidaklah susah, kesalahan tetap ada, tetapi muliakan diri anda dengan mengaku kesalahan sendiri dan meminta maaf kepada orang yang kita buat salah dan mulakan hidup dengan bermaaf-maafan sesama kita dan berusaha menjadi manusia yang mempunyai nilai kendiri yang terpuji.

Manusia & Sikap

Manusia dilahirkan ibarat seperti kain putih yang bersih, cantik dan tidak ada kotoran atau cacat cela. Kain yang kita dapat itu hendaklah kita jadikannya sepasang baju yang cantik dengan potongan yang menarik, barulah apabila dipakai nanti akan kelihatan anggun dan menarik bukan sahaja di mata kita tetapi di mata orang juga. Bagaimana kita nak buatkan kain itu menjadi cantik?. Ia terserah pada diri kita. Kita juga mestilah mendapatkan tips-tips atau pandangan daripada pakar yang membuat baju agar baju yang hendak kita buat itu nanti akan kelihatan sempurna, akan tetapi kita tidak boleh menyerahkannya bulat-bulat kepada individu atau orang ain kerana takut nanti kain tersebut akan rosak dan sebagainya. Ada di antara kita pula mendapat kain yang koyak dan apabila terjadi sedemikian, ada di antara kita juga yang tidak dapat menerimanya dengan hati yang terbuka dan ada yang terus membiarkan begitu sahaja atau membuangnya ke dalam tong sampah atau tempat-tempat yang tak sepatutnya dibuang. Ada pula di antara mereka yang bersyukur dan menerima dengan hati yang terbuka dan dengan sedaya upaya akan menjahitnya semula dan mencantikkan kain tersebut. Manusia sebegini merupakan manusia yang sentiasa bersyukur atas apa yang mereka perolehi.
Semua ini terjadi adalah kerana sikap manusia, sikap manusia yang sering dibuai oleh nafu yang tidak dapat dikawal, apatah lagi dihasut oleh syaitan yang sememangnya ingin melihat manusia sentiasa melakukan dosa dan kesalahan yang berterusan. Mengapa sikap buruk manusia sukar diubah?. Sikap manusia sukar diubah adalah disebabkan beberapa faktor. Faktor utama ialah nafsu manusia yang tidak dapat dikawal. Nafsu yang berterusan yang membuak-buak yang ingin mencapai sesuatu matlamat. Bila hal ini terjadi maka akan timbul lah permasalahan seterusnya iaitu pemikiran yang negatif sehingga membuatkan manusia mengalami perubahan sikap yang tidak sepatutnya berlaku dalam dirinya. Sebab itu lah kita lihat, manusia mempunyai sikap pentingkan diri sendiri, tamak, dengki dan sebagainya. Proses ini tercetus adalah kerana manusia itu tadi tidak pernah bersyukur atas apa yang mereka perolehi.
Sikap manusia boleh diubah apabila diri sendiri yang berkehendakkannya. Bagaimana hendak memastikan diri kita tidak terperangkap dengan sikap-sikap yang negatif?. Pertama sekali kita hendaklah memastikan kita tidak terikut-ikut dengan kehendak nafsu. Nafsu selalunya bukan untuk kebaikkan akan tetapi ia lebih terjerumus kepada kelemahan dan keburukkan sebab itulah kita harus memastikan diri kita sentiasa mengawal nafsu yang membuak-buak agar tidak tercetus sikap yang negatif yang akan timbul dalam diri kita. Selain daripada mengawal nafsu, kita juga hendaklah bersyukur di atas apa yang telah kita perolehi. Fikiran dan hati hendaklah sentiasa bersih. Kesemua amalan ini hendaklah datang bersama doa dan amalan yang kita lakukan di atas muka bumi ini yang berlandaskan Islam. Ingatlah diri kita melambangkan keluarga kita, apakah kita sanggup meihat orang lain mencopkan ibu bapa kita tidak pandai mendidik kita disebabkan kita?. Jika kita tidak berkehendakkan demikian maka perbetulkan diri kita terlebih dahulu sebelum kita perbetulkan orang lain. Bermula lah dengan diri kita agar orang lain dapat mengikut jejak langkah kita.
Ubahlah sikap negatif yang ada pada kita demi kebaikkan kita sendiri, mengaku kelemahan diri lebih mulia dari menunding jari pada orang lain. Bagaimana orang hendak hormat pada diri kita jikalau kita tidak terlebih dahulu hormat pada orang. Jika kita tanamkan sifat-sifat ini maka dengan itu saya percaya sifat-sifat yang terpuji pasti akan timbul dalam diri kita. Jadi renung-renungkan.
Salam

Friday, October 24, 2008

Rahsia kekalkan perasaan 'sayang' demi kebahagiaan berpanjangan

Ramai di kalangan kita tidak mengendahkan hubungan selepas sesuatu perhubungan terjalin, terutama pasangan yang telah di injab kabulkan dengan sah. Kata orang, perpisahan merupakan sesuatu yang telah ditakdirkan tetapi takdir Allah juga melihat kepada usaha kita mempertahankan sesuatu perpisahan itu. Janganlah sewenang-wenangnya bila tiba masa keretakkan sesebuah rumahtangga itu kita menyalahkan takdir dan berkata tiada jodoh atau menyatakan inilah ketentuan Illahi. Adakah anda faham akan ketentuan Illahi?. Manusia zaman sekarang lebih suka bercerita tentang agama dan kebaikkan beragama, tetapi persoalannya adakah mereka yang bercerita tentang kebaikkan agama ini tadi mempraktikkan apa yang mereka katakan?.
Di dalam Islam, agama melarang kita meruntuhkan sesuatu hubungan yang telah kita bina dengan sah, apatah lagi memisahkan ummah atau ertikata lain memutuskan silaturrahim sesama Islam. Apakah dengan memutuskan silaturrhaim sesama Islam itu merupakan sauatu takdir Allah?. Sudah pasti jawapannya tidak. Kita akur dan menerima sepenuhnya takdir Allah, tetapi di dalam Islam, Allah menyuruh kita seboleh-bolehnya mempertahankan dan memperelokkan sesuatu hubungan yang mencapai tahap yang meruncing dengan mengindahkannya semula tanpa meruntuhkan begitu sahaja. Di sini ingin saya berkongsi pengalaman dan rahsia disebalik kebahagiaan yang berterusan apabila kita menjalinkan hubungan yang sah selaku suami isteri atau kawan-kawan dan pasangan kekasih yang ingin memperlihatkan hubungan mereka berkahir dengan ikatan yang sah dan berpanjangan.
Apabila anda sudah mula menyintai seseorang ataupun sudah di injab kabulkan maka beberapa perkara perlu anda lakukan demi menjaga perasaan 'sayang' itu terus mekar dan berpanjangan. Perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah dengan mengenali pasangan anda dan memahami karektor pasangan anda dengan sebaik mungkin, selain daripada itu anda perlu buangkan sifat hasad dengki anda dengan pasangan anda, bersihkan hati, berfikiran positif selalu terhadap pasangan anda, mengambil berat, memahami diri pasangan anda, menerima kelemahannya, menegur dengan penuh etika dan sopan tanpa memalukan pasangan anda, bertutur dengan sopan, menerima keluarga pasangan anda tanpa ada sebarang perasaan yang negatif walaupun ibu mertua atau keluarga mertua merupakan seorang yang zalim. Kongsi lah kepayahan, kesusahan, kesedihan dan kebahagian bersama. Anda juga perlu ikhlas, jujur dan amanah dalam menjalinkan hubungan. Berdoa pada Allah dan sebagainya.
Selain daripada sifat-sifat tersebut, tidak salah juga jika anda membuat sedikit kejutan dengan mengeluarkan sedikit wang bagi tujuan membeli hadiah. Perkara yang lain yang perlu anda lakukan adalah memperingati setiap tarikh-tarikh penting dan detik-detik indah pasangan anda. Ini akan membuatkan pasangan anda akan berasa dirinya dihargai.
Hal yang lain yang menjadi keutamaan adalah membenarkan pasangan anda melakukan aktiviti-aktiviti atau hobi mereka tanpa memperlekehkan atau mempersenda hobi pasangan anda, malah anda juga boleh turut serta dalam melakukan aktiviti dan hobi bersama pasangan anda, ini pasti akan membuatkan pasangan anda akan menjadi lebih teruja lagi. Banyak lagi perkara-perkara yang boleh anda lakukan bagi merapatkan lagi hubungan dan menambahkan lagi perasaan sayang anda terhadap pasangan anda, akan tetapi anda juga harus sekali sekala memberi sedikit ruang kebebasan terhadap pasangan anda agar perasaan sayang tadi tidak menjadi jemu. Ruang kebebasan tadi bermakna memberikan kebebasan kepada pasangan anda untuk berhujung minggu bersama rakan-rakan atau keluarganya. Jangan lah anda terlalu mengongkong pasangan anda sehingga dia tidak mempunyai ruang kebebasan.
Jika perhubungan anda menampakkan keretakan sedikit, adalah lebih baik anda perbaiki dan jangan ditangguh atau dibiarkan kerana pasti ia akan menjadi lebih parah. Apa yang perlu anda lakukan jika keadaan sesuatu hubungan sudah tidak seperti masa mula-mula anda bertemu dengan si dia dahulu?. Perkara utama adalah menenangkan diri anda terlebih dahulu, kemudian lupakan apa yang telah berlaku dan jangan menambahkan atau mengeruhkan lagi keaadaan dengan menerkam atau menempelak ke arah pasangan anda akan masalah yang anda hadapi. Anda perlulah memikirkan hal-hal atau suasana yang menjadi kebahagiaan anda dengan pasangan anda tanpa meperlihatkan kelemahan atau keburukkan pasangan anda. Hal ini terbukti berkesan setelah beberapa kajian yang saya buat menampakkan sesuatu hasil yang di luar jangaan. Kebiasaannya, setiap pasangan yang datang berjumpa dengan saya apabila mereka menghadapi pertelingkahan sehingga membuatkan mereka hendak berpisah, saya akan mengadakan rundingan secara bersama.
Perkara pertama yang saya bertanyakan kepada mereka adalah, apakah tujuan mereka datang berjumpa dengan saya?. Adakah untuk terus berpisah atau untuk memulihkan keadaan rumahtangga atau sesuatu hubungan?. Selalunya, jawapan yang diberikan adalah untuk memulihkan hubungan mereka. Maka dengan itu saya akan berkata, saya perlukan kerjasama daripada mereka berdua. Kerjasama daripada kedua-dua belah pihak perlu ada dalam memulihkan hubungan yang telah retak. Seterusnya saya akan gelapkan ruangan tersebut dan menyuruh mereka menutup mata sambil melupakan apa yang telah berlaku di antara mereka, dan kembali ke masa mula-mula mereka bertemu dahulu. Kosentrasi atau tumpuan perlu ada pada ketika ini. Kemudian saya akan menyuruh mereka menceritakan semula kisah suka duka mereka sambil iringan lagu-lagu cinta dimainkan dengan perlahan, sebelum itu pastikan anda memasang dahulu sedikit aroma lavender di ruangan konsultansi anda bagi menarik impak yang lebih lagi.
Pada ketika ini, anda harus memikirkan kepayahan yang anda harungi bersama, yang anda tempuh berdua mengharungi kehidupan yang penuh liku. Bayangkan juga anda pergi bercuti bersama, menghabiskan masa berdua-duaan dengan gelak tawa dan keriangan. Hmmmm... alangkah manisnya pada saat itu, seolah-olah anda adalah pasangan yang bahagia di dalam dunia ini. Kemudian saya rapatkan pasangan tersebut dengan meyuruh mereka berpegangan tangan sambil menutup mata dan membayangkan kebahagiaan tadi dengan menceritakan semula saat kegembiraan yang mereka lalui, selepas itu saya akan menyuruh mereka menceritakan kebaikkan pasangan mereka, apa yang telah pasangan mereka berkorban demi pasangannya. Konsultansi ini berlatutan sehinggalah mereka sedar, inilah pasangan mereka dunia dan akhirat dan mereka tidak lagi berpisah seterusnya kembali kepada keadaan sepertimana mereka mula-mula bercinta dahulu. Proses ini berjaya adalah kerana kedua-dua belah pihak sememangnya mahukan perdamaian dan masih mempunyai sifat sayang di antara satu sama yang lain. Agak susah jika sebelah pihak sahaja yang mahukan pendamaian, kerana itulah kita perlukan kerjasama daripada kedua-dua belah pihak
Alhamdulillah jika anda lakukan apa yang telah saya lakukan terhadap pasangan yang mengalami keretakkan sebentar tadi pasti anda tidak akan mengalami nasib yang sama. Pastikan juga anda menambahkan kasih sayang anda terhadap pasangan anda pada setiap hari. Fikirkan hari ini tidak kan sama seperti esok, lakukan perubahan setiap hari agar pasangan anda akan lebih teruja dan jangan sama kan hari anda dengan hari-hari yang lepas, kerana hari yang lepas merupakan hari-hari yang telah menjadi sejarah dalam kehidupan anda berdua.
Terdapat banyak lagi yang perlu saya coretkan akan tetapi masa tidak mengizinkan. Jadi inilah sedikit sebanyak ringkasan yang boleh saya coretkan bagi pasangan yang sedang hangat bercinta atau pasangan yang hendak berpisah. Utamakan kebahagiaan dalam suka duka mengharungi dugaan hidup yang penuh rintangan.
Salam

Tuesday, October 21, 2008

Jemputan ke "Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri"

Saya dengan rasa rendah diri dan bersyukur ke hadrat Illahi dengan ini menjemput rakan-rakan dan kenalan ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri saya seperti berikut :-
Tarikh : 26hb Oktober, 2008
Lokasi : Dewan Pangsapuri PKNS 17T Bukit Kerinchi, Kuala Lumpur
Masa : 11.00am - 6.00pm
Semoga dengan kehadiran jemputan dapat memeriahkan lagi majlis saya di samping merapatkan lagi sirraturahim di antara kita
Terima Kasih

Monday, October 20, 2008

Perasaan 'Sayang'

Perasaan Sayang adalah suatu perasaan yang lahir dari hati yang ikhlas, perasaan sayang ini tidak boleh dibuat-buat terutama apabila kita berhadapan dengan seseorang yang kita sukai. Perasaan sayang akan wujud apabila kita menyukai sesuatu tidak kira sama ada ianya seorang manusia, binatang ataupun ia merupakan barangan.
Perasaan sayang kepada manusia ini tidak boleh dibuat-buat. Bila ia dibuat-buat maka ia akan menampakkan suatu kelainan. Kelainan dari segi semua aspek ia termasuklah dari segi percakapan, gerak lenggok badan dan pandangan serta tumpuan seseorang. Dalilnya, jika anda berhadapan dengan seseorang yang anda sukai, pasti akan membuatkan anda berasa segan atau malu, malah anda cuba untuk menunjukkan sifat yang terbaik buat orang yang anda sukai itu, Masa yang panjang akan diperuntukkan jika anda berhadapan dengan seseorang yang anda suka. Ada di antara mereka terutama golongan wanita, apabila berhadapan dengan seseorang yang disukainya, mereka ini akan lari atau berjauhan dengan orang tersebut.
Perkara ini merupakan satu perkara yang biasa, bukan kerana dia sombong atau pelik tetapi kerana dek sifat pemalu yang teramat sangat. Tetapi apabila seseorang tidak suka kepada anda, mereka selalunya akan cuba alihkan tumpuan melalui percakapan dan sebagainya. Pelbagai alasan akan diberikan bagi menamatkan perbualan anda secepat mungkin. Terdapat 2 fasa yang perlu kita ketahui sama ada seseorang itu suka pada kita atau pun tidak, dalam fasa pertama terdapat 3 langkah penting yang perlu kita tahu bagi mengenal pasti sama ada seseorang itu suka ataupun tidak pada diri kita.
Fasa pertama dan perkara yang pertama yang perlu kita tahu adalah detik-detik sebelum mengenal seseorang itu. Seseorang yang pertama kali kita terserempak yang berada di sekolah, kolej ataupun tempat kerja yang kita sukai. Langkah yang pertama yang dia akan ambil adalah melalui pemerhatian dari jarak jauh. Sesetengah daripada kita akan menyedari seseorang sedang memperhatikan kita, tetapi ada di antara kita tidak berapa perasan akan hal ini. Jadi hal ini tidak lah begitu serius. Langkah kedua yang akan mereka ambil adalah bertanyakan tentang diri kita kepada teman-teman yang rapat dengan kita. Manakala Langkah yang ketiga iaitu langkah yang terakhir, mereka akan mula merapati kita dengan secara pelahan-lahan secara berhubung terus apabila mereka sudah mula mengenali kita di peringkat asas pertemuan.
Fasa kedua pula terdapat beberapa perkara yang perlu kita tahu, selalunya fasa kedua ini kita akan tahu sama ada seseorang itu suka dan sayang pada diri kita atau pun tidak. Kesinambungan daripada fasa pertama tadi, mereka yang dah mengenali kita akan cuba menunjukkan keperibadian yang baik. Selalunya mereka akan kerap berhubung dengan kita, tidak kira melalui sms, perbualan telefon, surat, email atau apa sahaja.
Perkara-perkara yang disentuh kebiasaannya adalah merupakan hal peribadi kita, seperti latarbelakang kita termasuklah hobi dan sebagainya. Peringakt ini selalunya, kita sudah tahu sama ada seseorang itu suka pada kita atau pun tidak. Maka dengan ini, lihat-lihat lah sekeliling kita sama ada seseorang itu, ada menyukai kita atau sebaliknya. Perkara yang dibawakan ini hanya untuk orang yang menyayangi diri kita dan ini bukanlah untuk umum seperti teman-teman, bos dan sebagainya. Jadi jangan lah pula kita ambil ini sebagai rujukan buat teman-teman atau bos. Apa yang dikupaskan ini adalah secara ringkas dan asas kepada perkara yang penting. Jika diikutkan terdapat banyak lagi faktor-faktor lain.
Nantikan edisi kedua saya, Rahsia bagaimana untuk mengekalkan kasih sayang yang telah terjalin.

Saturday, October 18, 2008

CIUM PIPI AYAH SEBELUM CIUMAN TERAKHIR

Pada Sabtu, Jun 26 @ 15:46:27 MYT sebagai peringatan buat kita yang masih mempunyai ayah dan ibu hargailah mereka sebaiknya sebelum kita terlambat, sebelum mereka pergi meninggalkan kita atau kita pergi meninggalkan mereka. Wallahua'lam
saya terima info ini dari seorang rakan dan diceritakan kembali. Ayah aku baru meninggal 5/8/2002 pada jam 3.25pm. Apa yang aku tuliskan di sini adalah untuk mereka yang masih lagi ada orang tersayang, untuk terus menyayangi dan berjasa sebelum menyesal. Kematian abah amat meninggalkan kesan yang mendalam apatah lagi meninggalkan mak yang kesorangan. Anak-anak semua dah besar, kerja semua jauh. Hidup ini seolah tiada erti. Selama ni setiap suka duka pasti telefon dan maklumkan pada mak dan abah. Kalau naik gaji, dapat keputusan bagus dan lain-lain pasti telefon mereka supaya mereka gembira. Kalau boleh mahu terus berada di perak menemani mak yang terus menangis. Syukur, abah mati dipelukan mak yang mengucap dua kalimah syahadah di telinga kirinya dan aku ketika itu mengucap ditelinga kanannya. Ini adalah kali pertama aku melihat kematian, masih terbayang abah memandang jauh kehadapan dan mata nya ke atas sambil mengucap dan memejamkan mata.
Sungguh cepat dan tenang, semoga roh abah ditempatkan digolongan yang beriman. Syukur sembahyang jemaah abah lebih dari seratus orang syukur juga abah dikebumikan dengan selamat. Sejam sebelum kematian, sempat berbual dengan abah. Abah kata kalau nak beli kereta tunggulah 2005. Bila masa AFTA nanti kereta honda jatuh harga. Boleh lah bawak mak berjalan-jalan. Waktu tu abah dah sihat dah ada selera makan. Pastu abah suruh esok pergi buat kad pengenalan baru. Sebab abah dan Mak baru ambil kelmarin. Abah kata sehari je buat. Tak payah ambik gambar kat kedai gambar. Diorang guna digital kamera kat ofis je. Tapi abah kata jangan pakai baju putih. Nanti gambar tak jelas. Tapi tak sangka esok nya aku pergi sana bukannya untuk buat kad pengenalan aku, sebaliknya buat sijil kematian abah. Apabila Izrail datang mengambil nyawa kita tak boleh menpercepatkan atau berganjak walau sesaat. Sampai sekarang masih terbayang keadaan abah masa tu. Tapi macam tak sangka, Abah hanya tengok atas dan tutup mata. Badan tidak bergoyang walau seinci. Abah cuma nak baring. Sambil mulut mengucap dua kalimah syahadah.
Pertama kali aku pergi ke rumah mayat jenazah. Pertama kali juga aku naik van jenazah, pertama kali buat sijil kematian, pertama kali tak tidur 2 hari, pertama kali asyik menangis, pertama kali menimbus kubur, pertama kali menjirus air mawar, semuanya pertama kali dan pertama kali juga takkan jumpa abah lagi. Aku memandikan abah memasangkan kain ihram sebagai kain kapan. Ketika ditutup muka abah, aku mencium dahi, pipi kanan, pipi kiri dan bangun tetiba hati aku ingin terus mencium lagi, aku membongkokkan kaki dan mencium dahinya semula. Ciuman ini adalah ciuman terakhir. Semasa kecil aku selalu cium abah. Tetapi apabila dah besar sudah lama tidak mencium pipinya. Ya Allah.. tuhan segala alam... aku dan abang mengangkat jenazahnya dan mengebumikannya. hati ini sayu mengenangkan pemergian abah yang tercinta. Mak hanya memandang dengan air mata sayu, penglihatannya kosong setelah 36 tahun hidup bersama abah kini tinggal seorang.
Selaku seorang anak, aku tahu bagaimana kasih seorang abah. Abah seorang pendiam, sabar dan alim. Jemaah masjid, bendahari masjid dan pelbagai amanah kebajikan dilakukannya. Aku selama ini tidak pernah meluahkan kasih kepada abah secara terus terang. Memang sayang abah, cuma dengan abah aku hormat dan memendam kasih aku. Lainnya pula dengan emak yang sentiasa berterus terang, seringkali tidur di peha. Kelmarin, aku baca dairi abah. Tak sangka abah pun tulis diari. Tiada apa yang ada dalam dairi itu melainkan perkara anak-anak nya. Semuanya berkisar tentang anak-anaknya . Aku sendiri tak ingat bila aku beli kereta. Tapi abah catat 18 February rizal beli kereta satria hijau 1.6, abah catat setiap kali anak nya telefon beserta waktunya. Sekali tu jam 1.00 pagi aku telefon dari KL, abah pun catat. Semuanya abah catat berkenaan anaknya. Abah catat rizal balik jam 2.00 tengahari bawa keropok dan lain-lain. Abah catat Kak Su keguguran. Abah catat Shaifol (abang sulung) ke KL,menangis kami semua bila baca dairi tu. Abah sayang anaknya tapi tak pernah tunjuk sebab abah lebih suka berdiam dan tidak bercakap pasal orang. Begitu juga dengan orang lain, abah hanya banyak cakap pasal ilmu agama dan berkenaan anak-anaknya sahaja. Ada kawan kampung abah baru ni cakap "Abah kamu masa hidup selalu cakap pasal anaknya. Seorang kerja sana sorang kerja sini. Dia bangga ada anak macam korang". Tapi jauh di sudut hati aku, aku masih terkilan sebab aku selalu fikir aku bukan anak yang baik.
Abah memang suka tulis. Kalau fail atau dokumen pasal kereta, rumah, bil, kedai dan lain-lain memang semua tersusun. Aku terjumpa buku nota kuliah subuh abah yang terbaru. Catatan terakhir yang abah tulis "hati orang beriman sentiasa ingat kubur" abah gariskan perkataan ingat kubur dan kami bersyukur bahawa abah sememangnya telah bersiap sedia untuk meninggal dan menyerahkan diri kepada Allah untuk melepaskan seksaan di kubur dan api neraka. Abah memang suka budak kecik, pantang anak siapa pasti dia akan dukung bawa berjalan. Cucu-cucunya setiap kali balik pasti nak tidur sama. Kini semuanya tiada. YaALLAH.... aku tak tahu bagaimana kehidupan untuk diteruskan tanpa Abah. Baru bercadang nak balik dan bertekad bonus tahun ini nak beri abah seribu dan mak seribu. Tapi Allah lebih menyayanginya. Abah meninggal 5hb, tidak sempat merasai bonus pertama anaknya yang baru masuk 10hb Ogos 2002. Kali nie tak sangka bonus banyak digunakan untuk majlis tahlil dan batu nisan untuk abah.
Tok Imam ada cakap kat kami "kubur ayah dikorek pastu ditanam tanahnya masih penuh kat tepi, terlebih tandanya seorang yang murah sedangkan ada sesetengah kubur dikorek pastu ditimbus semula tapi masih tak cukup tanah". "Abah kamu wajahnya senyum walau pun dah meninggal". "Abah kamu waktu dimandikan dah bersih tak ada kotoran najis pun". Perkara itulah menyedapkan hati kami untuk jadi seperti abah. Sembahyang Jumaat minggu yang sudah di Masjid aku memulangkan semula duit masjid dan buku akaun yang abah pegang selaku bendahari. Sambil mengira kutipan Jumaat hari itu tok imam dan bilal turut menangis. "Dulu abah kau yang tolong kira lepas itu tulis kat white board tu". Ini semua membuat aku rasa terpanggil untuk kembali ke kampung walau kerja apa sekali pun. YaAllah... sesungguhnya kematian ini memberi hidayah pada aku. Talkin buat abah masih segar. "Wahai Polan Bin polan ketahuilah kamu bahawa mati itu benar, kiamat itu benar, Allah itu benar" dan, kita yang hidup akan pergi juga. Lelaki berat tanggungjawabnya, suami menanggung dosa isteri dan anak-anak. Isya Allah selaku anak-anak kami telah dibekalkan ilmu agama. Cuma aku kini telah lupa untuk mengamalkannya sejak mula bekerja setelah terlupa dengan nikmat Allah.
Mak juga seorang yang solehah, aku yakin Allah maha pengampun dan maha bijak sana dalam menentukan Al -Mizan. Dulu mak dan abah setiap kali masuk waktu, akan ke Masjid dekat dengan rumah berdua-duaan. Tapi sekarang ni mak kata mak takut nak ke masjid seorang diri takut tak tenang hati teringat abah. Inilah perasaan aku sekarang. Buat korang yang masih ada abah, jadikan iktibar. Cium pipi ayah sebelum ciuman terakhir. Dan curahkan kasih sayang tanpa selindung. Tunjukkan lah kasih sayang yang tak berbelah bagi
**Sayangi lah orang tua mu selagi mereka masih ada. Renungilah bingkisan penting ini dengan lebih jelas melalui Buku Wahai Ibu!. Wahai Ayah!, Ia menceritakan segalanya tentang ibubapa dan kita, menurut kacamata Islam.

Thursday, October 16, 2008

Rezeki di Tangan Allah

Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu, lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu". Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku". Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".
Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".. Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas, kemudian Nabi ambil gandum sebiji, diletakkan ke dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggalkan semut di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan. Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah". Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada diatas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa". Itulah Iman Semut!!
IMAN MANUSIA??
Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali terlebih dahulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat. Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik kerumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik. Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di INTERVIEW oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur. Lepas itu, penggali tersebut pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih mengadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?". Jawab Imam Suffian: "Diakhir zaman, hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah, 98 orang lagi tidak percaya bahawa rezeki di tangan Tuhan". Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya, iman dia akan beralih.
Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia.
Kata Saidina Ali kepada Kamil: " ILMU ITU LEBIH BAIK DARIPADA HARTA, ILMU MENJAGA ENGKAU DAN ENGKAU MENJAGA HARTA, ILMU MENJADI HAKIM, HARTA DI HAKIMKAN, HARTA BERKURANGAN APABILA DIBELANJAKAN DAN ILMU BERTAMBAH APABILA DIBELANJAKAN".
Renung-renungkanlah dan selamat beramal

Sunday, October 5, 2008

Janji

Janji membawa maksud satu ucapan atau ungkapan yang dikeluarkan dari mulut seseorang kepada seseorang yang perlu ditunaikan walau apa pun yang terjadi. Mengikut Islam, apabila seseorang itu membuat janji, maka dia wajib menunaikan atau melunaskan janji-janji yang telah dia buat. Jika tidak menunaikan janji tersebut, maka berdosa besar lah dia.
Janji ini merupakan satu tanggungjawab, tanggungjawab pula merupakan amanah yang harus dilaksanakan. Manusia yang tidak berpegang pada janji merupakan manusia yang gagal menjalankan amanah, dan mereka ini boleh tergolong dalam golongan orang yang munafik. Orang munafik merupakan orang yang pandai berkata, tetapi kata-katanya tidak selari dengan perbuatan. Manusia sebegini pasti akan dimaksukkan ke dalam neraka Allah.
Pepatah melayu juga ada mengatakan "Lembu berpegang pada talinya, Manusia pula berpegang pada janjinya". Zaman hari ini, lembu dah tak bertali, justeru itu manusia juga turut sama tidak berpegang pada janji. Janji yang ditabur hanya untuk kepentingan diri sendiri dan bukan lah sebagai satu amanah lagi. Hari ini, kita dapati pelbagai jenis manusia suka menaburkan janji, tetapi amat malang, janji yang ditabur hanya sekadar janji dan tidak pula menunaikannya.
Jadi kepada sesiapa yang pernah berjanji atau yang hendak berjanji, maka diingatkan agar tunaikanlah janji-janji tersebut, jangan anggap janji itu sebagai satu mainan yang boleh dipermainkan. Janji yang dikeluarkan jika tidak ditunaikan, akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Saturday, October 4, 2008

Pisang & Hati

Maryam, guru kelas tadika telah menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci. Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastik berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan ada yang bawa paling banyak iaitu lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.
"Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya" beritahu Cikgu Maryam. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg. Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk. Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg yang berat, badan mereka turut berbau busuk disebabkan terkena pisang yang membusuk itu. Ada yang menangis, dan ada pula yang enggan meneruskan permainan.
Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Maryam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa. "Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Mayam. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk yang datang dari pisang itu tadi.
"Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawa ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu" beritahu Cikgu Maryam. Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik daripada membenci?!