Hari ini kita dapat lihat janji-janji yang telah diucapkan oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang merupakan Presiden UMNO dan bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia berkenaan dengan pembaharuan yang akan dilakukan olehnya ke atas beberapa perkara terutama menghapuskan politik wang dan beberapa perkara penting lagi.
Saya melihat keadaan ini telah disambut baik oleh semua perwakilan di tambah pula dengan kehadiran Tun Dr.Mahathir Mohamad yang merupakan mantan Perdana Menteri Malaysia telah membuka sinar baru ke atas reformasi UMNO itu sendiri.
Pada saat ini UMNO dilihat begitu lemah dan tersungkur dek kerana pemimpinnya yang tidak berkaliber dan berwibawa apatah lagi tiada ketegasan dalam diri. Kini pembaharuan telah pun bermula dengan perwakilan telah membuat pilihan yang tepat dengan memilih barisan pemimpin yang bakal mengembalikan UMNO ke dalam landasan yang betul.
Pembaharuan ini mestilah diteruskan bagi memastikan UMNO berada dalam keadaan cemerlang, dan dapat memenangi hati rakyat agar kembali menyokong UMNO dan Barisan Nasional pada pilihanraya akan datang. Kerja-kerja pembaharuan ini bukan lah mudah kerana bila sesuatu janji itu ditaburkan maka kita haruslah buktikannya melalui perlakuan dan perlaksanaannya bukan hanya berbicara manis sahaja tetapi tidak melakukan apa-apa.
Rakyat telah melihat dan rakyat juga menantikan perlaksanaanya. Perlaksanaannya pula biarlah telus dan benar-benar ikhlas bukan sekadar melepas batuk ditangga. Saya doakan agar UMNO itu sendiri dapat melakukan perubahan demi masa depan orang Melayu itu sendiri.
