Wednesday, March 18, 2009

Rasuah Ali Rustam & Kedudukan sebagai Ketua Menteri Melaka


1. Datuk Seri Mohd Ali Rustam telah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO Malaysia atas rasuah yang telah dilakukan oleh ejen terdekat beliau iaitu Saadun Basirun yang merupakan setiausaha politik beliau.

2. Walau bagaimana pun, kesalahan tersebut tidak akan menggugat jawatan Ketua Menteri Melaka yang dipegang oleh beliau pada masa ini. Adalah amat malang bagi Kerajaan yang ingin melakukan perubahan jika menyimpan lagi orang sebegini walaupun rasuah itu dilakukan oleh ejen terdekat beliau.

3. Cuba anda bayangkan, jika Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertegas terhadap ejen-ejen yang membantu beliau dalam merebut mana-mana jawatan tidak kira di peringkat mana sekali pun agar tidak melakukan suapan atau sebarang bentuk imbuhan tidak kira ia merupakan barangan atau sebagainya, maka saya percaya ejen-ejen tersebut tidak akan melakukan rasuah dengan melobi orang yang berkepentingan bagi sesuatu jawatan yang bakal diterajui oleh beliau.

4. Maka dengan itu saya dapati jika Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah terhadapnya, ia boleh disangkal kerana ejen yang membantu beliau yang juga merupakan setiausaha politik beliau telah di dapati bersalah dengan memberi rasuah. Hubungan setiausaha politik dengan bos adalah suatu hubungan yang rapat. Masakan setiausaha politik memberi rasuah tanpa diketahui oleh bosnya?. Jika tidak tahu, masakan Lembaga Disiplin UMNO mengambil tindakan disiplin terhadap beliau?. Maka dengan itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam haruslah bertnggungjawab terhadap ejen beliau.

5. Lembaga Disiplin UMNO Malaysia mempunyai bukti yang kuat bagi mengaitkan Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Lembaga Disiplin UMNO Malaysia juga telah mendapati beliau bersalah dan tidak membenarkan beliau bertanding bagi jawatan No.2 parti. Oleh yang demikian mengapa Kerajaan masih lagi menyimpan orang sebegini sebagai Ketua Menteri Melaka?. Ia boleh menjejaskan kredibiliti Kerajaan itu sendiri dan reputasi parti pasti akan menurun.

6. Seharusnya Kerajaan harus tegas terhadap setiap perasuah yang didapati bersalah atas kesalahan merasuah, maka disarankan agar perasuah itu tadi dikenakan tindakan yang sewajarnya dan dilucutkan semua jawatan yang dipegang. Tidak kira siapa pun dia. Jika tindakan tegas tidak diambil, maka akan bertambah jijik orang melihatnya.

7. Jika UMNO hendak berubah dan mendapat semula kepercayaan rakyat, maka UMNO tidak boleh ada belas kasihan terhadap perasuah. Tindakan tegas harus diambil bagi membuktikan Kerajaan benar-benar prihatin terhadap permasalahn yang timbul.