Friday, April 3, 2009

Orang Kita


Kita lihat kebanyakkan orang kita, orang melayu khususnya berlagak tidak tentu pasal. Berlagak mereka ini akan terserlah apabila mereka ini mempunyai wang dan kedudukan. Amat jarang kita dapat melihat orang yang berjawatan tinggi atau yang berwang ini mempunyai sifat-sifat terpuji seperti sifat padi, makin tunduk makin berisi. Kebiasaannya mereka ini juga akan berkawan rapat dengan orang-orang yang seangkatan dengannya.

Apa pun tidak dinafikan terdapat juga golongan orang yang berpangkat dan berwang ini mempunyai hati yang suci dan sentiasa merendah diri. Tetapi bilangannya boleh dikira dengan jari. Ingin juga saya bertanyakan kepada mereka, untuk apa mereka berlagak dan menjadi bodoh sombong?. Adakah kematian mereka ini tadi akan dibalut dengan kekayaan yang mereka perolehi dan akan dihitung oleh Allah sebagai tiket untuk masuk ke syurga?. Jika tidak mengapa mereka ini berlagak?. Mengapa mereka ini bodoh sombong?, dan ada di antara mereka juga tanpa segan silu memaki hamun orang dengan sesedap mulut mereka.

Persoalan ini telah saya kemukan kepada beberapa golongan orang kenamaan yang bergelar 'Datuk' dan beberapa orang yang berjaya yang mempunyai harta yang banyak. Rata-rata di antara mereka apabila diajukan soalan ini, mereka juga tidak menafikan ada di antara mereka yang sememangnya begitu. Ini adalah kerana mereka beranggapan, mereka ini perlu lah dihormati kerana mereka ini mempunyai kedudukan dan mempunyai harta yang banyak. Oleh yang demikian mereka memerlukan penghormatan kerana apa yang mereka perolehi itu sememangnya jarang-jarang manusia yang akan dapat sepertimana mereka dapat.

Ada yang beranggapan, mereka ini tadi sebenarnya tidak berpegang pada ajaran Islam, dengan erti kata yang lain mereka ini lebih mementingkan hal duniawi dan tidak pernah untuk ingat pada hari kematian kelak. Sebab itulah mereka hidup dalam keadaan seumpama itu seolah-olah mereka ini akan hidup buat selama-lamanya dan mereka juga tidak akan jatuh susah.

Ada pula yang berkata, manusia yang berkedudukan sememangnya angkuh sebabkan mereka merasa diri mereka ini ibarat tuhan, mereka suka melihat manusia yang daif datang sujud pada kaki mereka dan merayu-rayu meminta pertolongan. Sebenarnya banyak lagi anggapan-anggapan yang begitu teruk sekali sehinggakan saya tidak boleh menulis kerana ia tidak sedap di dengar. Mereka-meraka yang menjawab soalan-soalan saya ini merupakan golongan-golongan atasan yang sememangnya mempunyai kedudukan dan mempunyai harta yang banyak, tetapi tidak pula saya melihat mereka ini seumpama orang lain yang berlagak dan bodoh sombong.

Apa pun nasihat saya kepada golongan atasan atau yang berkedudukan dan berharta ini, jangan lah kita berlagak dan menjadi bodoh sombong kerana ia tidak mendatangkan apa-apa faedah pun kepada diri kita. Suatu hari nanti kekayaan itu akan memakan diri kita sendiri dan boleh merosakkan diri kita apatah lagi di saat-saat kematian kita nanti. Oleh itu saya menasihatkan kepada diri saya dan juga orang ramai agar tidak berlagak dan sentiasalah kita merendah diri agar kita dihormati dan disegani dek kerana sifat kita yang suci dan bukan kerana kita berkedudukan dan berharta.