Sunday, April 19, 2009

Sana Sini 'Orang Kita'


Politik zaman sekarang amat menyedihkan, tidak salah untuk kita berpolitik tetapi ada di kalangan pemimpin parti politik telah mengambil kesempatan menggunakan isu perkauman dan isu-isu lain yang boleh membawa kepada kemusnahan kepada bangsa dan Negara demi kepentingan diri mereka sendiri. Pengikut parti-parti politik juga ada yang terlalu taksub terhadap pemimpin mereka sehingga membelakangkan kebenenaran apatah lagi cara hidup dan amalan orang Islam langsung tidak diangkat dalam kehidupan seharian.

Perpecahan bangsa dapat dilihat pada hari ini di mana sesama bangsa bergaduh sesama sendiri akibat berkiblatkan kepada pemimpin parti-parti politik yang mereka sokong sehingga boleh menggugat perpaduan dan kesejahteraan rakyat. Lihat saja apa yang terjadi pada Kerajaan Negeri Perak, tidak lupa juga masa permilihan Menteri Besar Terengganu suatu masa dahulu dan banyak lagi hal-hal yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Mengapa hal ini terjadi?. Apakah berbaring di jalanan dan membuat huru hara merupakan ajaran yang di suruh di dalam Islam?. Kita juga lihat bila masa pilihanraya diadakan, kita dapat perhatikan kerenah penyokong-penyokong parti politik masing-masing di mana mereka amat bersemangat sekali menyokong calon-calon mereka sehingga mencetuskan kekecohan dengan mengeluarkan kata-kata kesat sehingga terjadi babak-babak yang tidak elok dilihat.

Jika kita lihat pada zaman Nabi Muhammad S.A.W yang menyebarkan Islam, Nabi sendiri dibaling batu oleh musuh-musuhnya tetapi Nabi begitu sabar dan tidak membalas apa pun terhadap musuh-musuhnya. Adakah cara yang dilakukan oleh Nabi sama seperti cara kita lakukan iaitu bergaduh, membaling batu atau objek-objek yang tidak sepatutnya jika kita ingin sangat menegakkan kebenaran?. Mengapa kita membelakangkan Islam walaupun kita seorang yang beragama Islam?. Islam banyak mengajar kita cara berpolitik, menegakkan kebenara dan menyebarkan ajaran Islam. Mengapa kita tidak ikut?.

Orang Melayu haruslah kembali ke landasan sebenar yang dituntut oleh Islam. Bergabung menjadi satu. Hati perlulah bersih dan ketegasan perlu ada dalam menegakkan sesuatu perkara dan bukannya ketegasan yang bisa mencetuskan kekecohan sehingga membawa kepada perbalahan sesama sendiri. Apakah kita ingin melihat Negara kita ini terutama agama Islam dicemuh akibat perbuatan orang Islam itu sendiri yang membelakangkan Islam dalam menegakkan kebenaran?.

Jadi marilah kita bersatu menjadi satu dan mempraktikkan Islam di dalam kehidupan kita agar bangsa dan agama kita menjadi kuat sehingga tidak akan ada sesiapa yang boleh menjatuhkan kita. Anda harus ingat Islam sebuah agama yang cukup sempurna, adalah amat merugikan kepada penganutnya jika tidak mengambil peluang mendalami Islam dan mempraktikkan Islam dalam kehidupan sehari-hari mereka.

Oleh yang demikian, saya seru kepada umat Islam kembali bersatu dibawah naungan Islam itu sendiri. Kita bisa menolak pemimpin yang korup. Kuasa di tangan kita. Tidak perlu kita mencemarkan imej kita terutama bangsa dan agama kita dek kerana pemimpin yang korup. Sebab itulah slogan 'pilihlah dengan bijak' telah dibuat. Maka jika kita bijak, kita haruslah memilih pemimpin yang bersih masa pilihanraya nanti. Pangkah bukan ikut calon yang kita suka tetapi pangkah lah calon yang bersih yang membantu rakyat, tidak kira parti mana pun calon itu wakili.

Salam