Saturday, May 23, 2009

Pemimpin Mesra Rakyat?.


1. Apa yang dimaksudkan 'Pemimpin Mesra Rakyat?. Jika kita amati, maksud tersebut merupakan seorang pemimpin yang mudah didekati oleh rakyat, dengan erti kata lain pemimpin yang senang didampingi oleh rakyat tanpa ada sebarang protokol atau kerenah. Boleh diibaratkan seperti kita menyambut Hari Raya Aidilfitri di mana kita akan membuka pintu rumah kita untuk sesiapa sahaja yang mahu kunjungi. Inilah yang dinamakan sebagai 'Pemimpin Mesra Rakyat'.

2. Slogan ini sering dilaung-laungkan oleh setiap pemimpin di Negara kita tidak kira daripada pihak Kerajaan mahupun pembangkang. 'Sayalah pemimpin mesra rakyat', kata-kata ini sering terdengar dari mulut pemimpin yang terdapat di Negara kita. Persoalannya, adakah benar pemimpin kita ini mesra rakyat?. Sejauh mana penerimaan mereka terhadap permasalahan rakyat.

3. Kadang-kadang, kita sebagai pemimpin sering alpa dalam mencari kekayaan bagi diri kita dan juga keluarga. Sebagai seorang pemimpin, kita haruslah membantu rakyat selain daripada menyelesaikan masalah yang terdapat dalam kawasan kita. Kebanyakkan pemimpin yang ada pada hari ini sudah jauh menyimpang dari landasan yang sebenar. Matlamat mereka untuk menjadi pemimpin bukanlah disebabkan untuk membantu rakyat tetapi untuk mengaut keuntungan demi kepentingan diri sendiri. Sebab itulah kita lihat begitu payahnya mahu melihat wajah pemimpin kita apatah lagi turun padang untuk melihat sendiri masalah rakyat atau setidak-tidaknya bertanyakan khabar walaupun berat mahu membantu.

4. Kebiasaannya mereka ini akan memberikan pelbagai alasan, dan apabila saat-saat akhir menjelang pilihanraya barulah kita akan nampak wajah pemimpin ini datang untuk bertanyakan khabar dan mengambil tahu akan masalah rakyat yang dihadapi semata-mata untuk mengekalkan kedudukan mereka. Hal ini bukanlah suatu perkara yang baru, ia sememangnya sudah terjadi. Ada juga pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat tidak pernah muncul di kawasan yang diwakilinya tetapi alih-alih muncul pula di kawasan orang lain, malah ditangkap oleh pihak berkuasa kerana terlibat dalam perhimpunan haram dan sebagainya. Pemimpin jenis apa ini?. Sibuk dengan kawasan orang tetapi kawasan sendiri tidak dijaga. Pelik, tapi inilah hakikat pemimpin yang ada pada zaman sekarang.

5. Mereka ini lebih cenderung kepada masalah parti yang mereka wakili dan bukan cenderung kepada masalah yang terdapat di kawasan mereka, sebab itulah kita dapat melihat pemimpin-pemimpin tersebut akan berada di luar kawasan mereka dan bukannya di kawasan mereka sendiri. Saya berharap rakyat dapat membuka mata dan tidak diperbodohkan oleh pemimpin yang sebegini. Sebagai contoh di kawasan saya iaitu DUN Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang Selangor, saya tidak pernah melihat pemimpin ini berada di kawasan Bukit Antarabangsa tetapi sering melihat di kaca televisyen pemimpin ini berada di luar kawasannya dan lebih tertumpu pada masalah yang dihadapi oleh Parti Politik yang diwakilinya.

6. Sebenarnya kita perlukan seorang pemimpin yang boleh menjaga kawasan yang diwakilinya dan bersedia memikul tanggungjawab dengan mengharungi pelbagai masalah tanpa mengeluh atau bekerja sambil lewa. Kita juga memerlukan pemimpin yang mudah didampingi dan bersedia turun padang bagi meninjau masalah yang ada dan menyelesaikan masalah tersebut dengan cepat. Bukan setakat masalah sahaja tetapi ia juga turut serta dalam pelbagai majlis yang dianjurkan oleh rakyat di dalam kawasan mereka. Pemimpin sebaginilah yang perlu kita undi pada masa-masa akan datang.

7. Kepada pemimpin yang ada pada hari ini, ingatlah kedudukan anda tidak akan kekal lama jika sifat pentingkan diri sendiri, ego, bodoh sombong dan berlagak terdapat dalam diri anda. Ingatlah juga jika tidak kerana rakyat memilih anda maka anda tidak akan berada dikedudukan tersebut. Oleh yang demikian berubahlah agar anda menjadi seorang pemimpin yang disanjungi dan bukan menjadi seorang pemimpin yang dibenci.