Friday, May 8, 2009

Perihal Manusia


Baru-baru ini tercetus sedikit perbezaan pendapat akan perihal perangai manusia. Agak susah untuk kita memahami seseorang individu tersebut. Kita bukanlah tuhan yang boleh menilai manusia itu dengan sekelip mata. Kita hanyalah manusia biasa yang boleh menilai manusia itu hanya dengan mengenali seseorang secara dekat. Masa diperlukan untuk kita mengenali sesiapa sahaja, baik kawan, pekerja, bos dan sesiapa sahaja.

Sesetengah manusia ini apabila diberi peluang, mereka tidak pernah menghargai peluang yang diberikan malah tidak pernah bersyukur juga. Apabila terdapat masalah, barulah kita sedar bahawasanya individu ini tidak diperlukan di dalam komuniti atau sesebuah organisasi tersebut maka dengan itu individu ini perlu disingkirkan sebelum ia menjadi virus yang boleh merosakkan sesebuah organisasi. Hal yang lain pula, jika seseorang datang kepada kita dan memohon pertolongan, adakah perlu kita terus menyikirkan orang tersebut sebelum dia meminta apa-apa pertolongan dari kita, tambahan pula kita langsung tidak mengenali orang tersebut?. Apakah kita ini manusia yang berhati binatang jika kita tidak membantu orang yang berada di dalam kesusahan?.

Di mana sifat murni kita sebagai seorang manusia yang mempunyai hati yang bersih?. Mahu atau tidak kita harus memberi peluang terhadap individu tersebut menyatakan masalah yang dihadapi, selebihnya bergantung pada budi bicara dan kemampuan kita. Jika kita dapati ia boleh memudaratkan kita, maka kita harus jujur dengan menyatakan 'maaf, saya tidak dapat membantu anda kerana saya tidak mampu'. Itulah sepatutnya yang perlu kita lakukan jika kita benar-benar mempunyai hati dan perasaan.

Sesetengah manusia beranggapan kita tidak harus memberi peluang langsung kepada mana-mana individu, tetapi jika peluang tidak diberikan maka bagaimana untuk kita tahu akan semua hal zahir dan batin berkenaan individu tersebut. Jangan lah kita menilai manusia itu hanya dari pandangan luaran. Manusia ini datang dari pelbagai, memang tidak dinafikan ada manusia yang berhati syaitan tetapi terdapat juga manusia yang berhati mulia.

Oleh yang demikian, mahu atau tidak kita harus mendengar dahulu masalah yang mereka hadapi, barulah kita membuat pilihan sama ada mahu membantu atau pun tidak. Kadang-kadang jika kita sudah terlalu baik kepada individu tersebut dengan ikhlas memberi bantuan dan balasan yang diberikan agak mengecewakan kita, maka individu ini harus disingkirkan. Kita tidak perlu berdampingan dengan individu yang tidak tahu mengenang jasa. Akal diberikan untuk kita berfikir dan membuat kebaikkan bukan untuk kita menggunakan akal kita ke arah yang boleh memudaratkan diri dan individu lain.