1. Setiap manusia dilahirkan mempunyai perwatakkan yang berbeza, ia termasuklah pemikiran dan pemahaman individu tersebut. Semua ini tidak akan sama di antara satu sama yang lain. Cara aku melihat dunia ini amat berbeza daripada individu lain, ia termasuklah pemikiran dan aku terjemahkan melalui idealogisme yang tersimpan dalam kotak pemikiran ku. Manusia hidup perlu ada idea-idea yang membolehkan seseorang itu berjaya dalam apa jua yang dia ingini. Cuma penterjemahan terhadap idea itu perlu dilakukan dengan cara yang terbaik dan ia hendaklah memastikan idea-idea tersebut bernas dan berkualiti. Manusia hidup tanpa ada idea bermakna manusia itu tidak mempunyai mutu daya saing dalam diri mereka apatah lagi manusia yang begitu bodoh dalam menjana kelebihan diri berbanding mereka yang ada idealisme.
2. Aku dengan cara aku, sebolehnya aku mahu menyenangkan hati semua pihak yang ada di sekitar aku tetapi malangnya aku tidak dapat memuaskan hati mereka. Ada di antara mereka suka dan ada pula sebaliknya, pendapat kita tidak semua yang boleh menerimanya sebab itulah setiap manusia itu dilahirkan berbeza antara satu sama yang lain. Aku tidak hirau kepada sesiapa yang tidak boleh menerima cara aku, tetapi mereka tidak perlu lah bersikap kurang ajar atau bercakap sesuka hati di belakang aku tambahan pula kata-kata itu disampaikan kepada orang lain dengan cara mereka dan membuatkan orang mula memandang serong terhadap seseorang individu itu.
3. Pelik tapi benar, inilah masyarakat kita 'Orang Malaysia' yang suka akan cerita-cerita panas, gosip dan sebagainya. Bagi aku, jika kita tidak suka akan seseorang atau mula membenci, maka apa yang perlu dilakukan adalah mengundurkan diri dan menjauhkan diri tanpa berkata apa-apa. Itulah sepatutnya yang perlu kita lakukan agar perkara yang kecil tidak diperbesarkan. Memang tidak dinafikan ada dikalangan kita amat tegas dalam sesuatu perkara. Ketegasan mereka perlu kita hormat dan akur kerana ada sesuatu yang mereka rasakan betul dalam keputusan yang mereka buat dan janganlah kita cuba untuk bertikam lidah akan perkara yang kecil. Jika kita dapati keputusan yang dibuat itu salah dan semati-matinya mereka bertegas dengan keputusan mereka, kita patutnya membiarkan mereka reda dahulu dan barulah kita menasihati mereka. Ini tidak, ada sesetengah dari kita masih berkeras kepala dengan menunjukkan kehebatan masing-masing dan kerana itu maka mulalah mata berlebam dan badan berparut sana sini disebabkan pertelingkahan yang tidak sepatutnya berlaku.
4. Aku dengan cara aku, suka atau tidak orang pada aku, aku tetap aku. Jika tidak boleh mengikut cara orang itu maka jalan yang perlu diambil adalah dengan mengundurkan diri dan menjauhkan diri dari individu tersebut. Kita juga perlu tahu manusia tidak sempurna. Oleh itu manusia ada kelebihan dan kelemahan. Kita mungkin boleh menerima kelebihan seseorang individu tersebut tetapi adakah kita juga boleh menerima kelemahan seseorang itu?. Banyakkan manusia semasa mereka bahagia mereka lupa akan kelemahan atau salah silap seseorang, tetapi apabila masalah berlaku maka kebaikkan orang tersebut terus dilupakan dan yang dipandang hanyalah kesalahan dan kelemahan. Justeru itu mulalah pergaduhan berlaku, caci maki dan sebagainya.
5. Orang kita cara kita, manfaatkan setiap apa yang kita pelajari dan janganlah kita kedekut ilmu. Ada sesetengah orang mempertikaikan orang itu pandai berkata-kata, pandai memberi nasihat tetapi diri sendiri tidak betul. Kita harus ingat, orang itu memberi nasihat dan kita mnedengar nasihat beliau tetapi orang tersebut tidak mempratikkan sepertimana yang beliau nasihatkan terhadap orang lain. Inilah yang dikatakan kebaikkan (keistimewaan) dan kelemahan seseorang. Perlukah kita mempertikaikannya?. Sepatutnya kita ambil yang baik dan yang buruk kita jadikan pengajaran buat diri kita dan kita juga perlu memainkan peranan untuk membantu individu tersebut agar kita sama-sama menjadi manusia yang berjaya. Lebih sudu. dari kuah. Inilah hakikat 'Orang Malaysia'.
