Wednesday, June 10, 2009

Malaysia bumi bertuah?.


Malaysia merupakan sebuah Negara hutan hujan tropika yang kaya dengan alam flora dan faunanya. Malaysia juga kaya dengan sumber asli dan hasil bumi yang boleh dimanfaatkan oleh penduduknya apatah lagi penduduknya yang berbilang kaum yang hidup aman dan damai dan semua ini membuatkan Malaysia sebuah Negara yang semua orang ingin duduki, akan tetapi malangnya ada segelintir dari kita yang tidak pernah bersyukur hidup di bumi Malaysia ini.

Akhir-akhir ini pelbagai isu tercetus termasuklah yang membakar api perkauman, merintis kepulangan ketua komunis dan lain-lain lagi. Siapakah dalang disebalik semua kejadian ini?. Kita lihat, orang yang suka membuat kacau bilau ini tanpa merasa sedikit bersalah merupakan orang yang suka melihat Negara dan rakyat Negara ini menderita. Tidak dinafikan dalang ini juga mempunyai pengikut-pengikut yang begitu taksub yang juga terdiri daripada Rakyat Negara ini dan semua ini membolehkan dalang ini terus mengekalkan usaha bagi memperalatkan rakyat dan memporak-perandakan Negara yang aman damai ini.

Apakah kita sebagai seorang rakyat Malaysia ingin melihat keadaan Negara kita seperti zaman sebelum kemerdekaan?. Jika tidak, mengapa kita terus membenarkan dalang-dalang ini terus berkuasa dan terus merosakkan Negara kita yang tercinta ini. Setiap rakyat di Negara ini mempunyai kuasa dan hak yang tersendiri. Penterjemahan hak itu hendaklah berlandaskan sesuatu yang nyata, waras dan mestilah mengikut undang-undang tanpa mengganggu gugat individu lain. Kebebasan telah diberikan tetapi jangan lah kita menyalahgunakannya.

Hak bersuara juga ada batas-batasnya. Janganlah sampai ia boleh menimbul kekacauan, perpecahan kaum, mahupun menggugat keselamatan individu lain mahupun Negara kita ini. Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang bertuah ini, hapuskanlah ideologisma yang boleh menggugat keharmonian yang boleh membawa kita kepada perpecahan. Anda menyokong seseorang pemimpin itu mestilah melihat akan kebenaran atau menyelidik latar belakang individu tersebut sebelum terjadi sesuatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku dan anda juga tidak boleh sewenang-wenangnya menunding jari dan meletakkan kesalahan terhadap orang lain.

Sokonglah kepada kebaikkan dan bukannya menyokong dalang yang menyuruh merosakkan dan mengucar-kacirkan Negara ini. Janganlah kita dah terhantuk baru terasa sakit. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Semaikan rasa taat setia kita kepada agama yang kita anuti, kerana tidak ada satu pun agama yang mengajar kita ke arah perpecahan malah agama-agama yang ada di muka bumi ini semuanya mengajar kita rasa cinta terhadap individu lain dan menyemai keharmonian.