Monday, June 22, 2009

Selamat Hari Bapa


Semalam tanggal 21hb Jun, 2009 merupakan 'Sambutan Hari bapa'. Ada sesetengah dari kita bersyukur dianugerahkan seorang bapa yang penyayang dan bertanggungjawab dan ada sesetengah dari kita pula dari kecil sudah kehilangan bapa dan tidak pernah mendapat kasih sayang dari seorang yang bergelar 'Ayah'. Ada juga bapa-bapa yang tidak bertanggungjawab dengan membiarkan anak-anak mereka membesar tanpa kasih sayang dan perhatian yang sepatutnya diberikan terhadap anak tersebut.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini, tidak semua bapa-bapa itu jahat dan tidak semua bapa-bapa yang ada itu baik. Kita lihat sikap manusia ini terutama lelaki mempunyai satu sifat di mana keegoannya teramat tinggi. Hal ini tidak boleh disanggah oleh mana-mana lelaki kerana kesemua umat manusia yang bergelar lelaki akan berasa dirinya atau darjatnya perlu lebih tinggi dari wanita tambahan pula bila ia bergelar ketua keluarga. Memang tidak dinafikan juga, terdapat segelintir lelaki berperangai baik dan tidak terlalu ego dan mereka juga saling bantu membantu di antara suami dan isteri atau membantu isteri membesar dan mendidik anak-anak mereka dengan sempurna.

Aku dilahirkan dan membesar dibawah jagaan ibu ku tanpa bapa di sisi. Aku juga tidak pernah kenal bagaimana kasihnya seorang ayah terhadap anaknya. Aku tidak berniat untuk memburuk-burukkan ayah aku tetapi hanyalah untuk berkongsi pengalaman kepada rakan-rakan agar tidak terjadi sepertimana yang terjadi kepada ayah ku. Ayah aku seorang yang tidak bertanggungjawab walaupun dahulunya dia bergelar seorang jutawan dan berkedudukan tinggi. Sehingga kini ayah ku masih lagi dibuai mimpi walaupun petunjuk dari Allah telah diberikan kepadanya. Keasyikkannya dengan hal duniawi ini terutama pada golongan wanita dan teman-temannya tidak boleh disangkal. Beliau lebih mementingkan mereka-mereka ini dari anaknya sendiri. Hal duit pula, ayah ku cukup senang menabur duit kepada teman-temannya sehingga mencecah ratusan ribu tetapi bila sentuh hal nafkah untuk anak-anak maka apa yang diperolehi adalah caci maki dan selepas maki hamun yang agak panjang barulah duit dihulur tanpa ada keihklasan dihatinya. Itulah perangai ayah ku sehingga kini.

Apa pun aku berdoa agar ayah ku sedar dan lebih bertanggungjawab ke atas anak-anaknya yang kini sudah pun mencecah 30 orang (6isteri 2 cerai, salah seorang yang bercerai adalah ibuku) belum termasuk cucu-cucu dia. Aku tidak pernah menyesal mendapat seorang ayah sebegitu malah aku juga bangga kerana disebabkan tindakan beliau yang tidak bertanggungjawab itulah membuatkan aku sudah boleh berdikari seawal umur ku 12 tahun. Apa pun kepada yang bergelar bapa atau pun yang akan bergelar bapa tidak lama lagi, pastikan anda laksanakan tanggungjawab anda sebagai seorang bapa, kerana tanggungjawab itu akan dihitung di akhirat kelak.