Sunday, August 23, 2009

Aku Seorang Islam Yang Moden Dan Bertamadun


1. Apakah benar kita sedang menuju ke arah manusia yang lebih bertamadun?. Semakin hari kita dilimpahkan dengan pelbagai kenikmatan duniawi yang semakin canggih dan maju. Kita juga disajikan dengan pelbagai jenis hiburan yang datang dari pelbagai cara, tetapi persoalannya sejauh mana keislaman yang dibawa oleh kita?.

2. Semakin hari kita semakin moden, begitu juga dengan umat Islam di Malaysia yang juga semakin hari semakin moden. Rata-rata umat Islam di Malaysia yang terlalu moden ini telah membawa keislaman mereka di tahap yang terlalu moden sehinggakan mereka telah menyimpang dari landasan Islam yang sebenar.

3. Mari kita lihat peratusan orang Melayu yang beragama Islam yang dikatakan moden dan membawa keIslamannya secara moden juga, boleh dikatakan lebih 13% masyarakat Melayu Islam yang moden menghalalkan arak di tempatkan di rumah-rumah mereka. Golongan ini kebiasaannya merupakan golongan atasan yang berpangkat dan golongan yang telah lama menginap di Negara-negara asing yang bukan Negara Islam.

4. Inilah yang dikatakan Islam moden yang bertamadun. Mereka menganggap Islam itu mestilah mengikut citarasa mereka. Hal ini amat menyedihkan apabila ada sesetengah daripada kita sanggup mempersendakan ajaran Allah dengan menyatakan kita tidak perlu berpuasa, bersembahyang atau melakukan ibadah-ibadah yang telah pun ditetapkan oleh Allah terutama yang terkandung di dalam Al-quran dan Hadith, cukup sekadar kita mempunyai hati yang baik dan itu sudah memadai bagi Allah untuk menempatkan kita di Syurga.

5. Hampir 8% umat Islam Malaysia yang berbangsa Melayu yang menginap di luar Negara juga berpendapat dan berfikiran yang sama seperti yang telah saya nyatakan. Kebiasaannya peratusan yang telah saya nyatakan sebentar tadi merupakan golongan orang yang bijak pandai, mereka ini mempunyai IQ yang tinggi dan berpendidikan tinggi juga, tetapi bukanlah di dalam bidang keIslaman.

6. Apakah yang membuatkan mereka menjadi sebegini?.

Ada di antara mereka sebenarnya telah mendapat pendidikan agama sama seperti orang lain, tetapi cara mereka berfikir amat berbeza disebabkan pemikiran mereka yang telah dirosakkan oleh kuasa biologi dan fizik yang perlu ada jawapan yang tepat dan bukannya jawapan yang tidak nampak dan sebagainya. Inilah salah satu faktor yang menjadi penyebab mengapa kebanyakkan orang kita terpesong dari landasan Islam. Faktor yang lain adalah mengikut ajaran sesat dan banyak lagi faktor-faktor yang menyumbang kepada terkeluarnya kita dari ajaran Islam sebenar.

7. Hari ini orang Islam lebih senang melakukan dosa berbanding dengan pahala. Mereka lebih suka mengaibkan orang lain, menabur fitnah, menjatuhkan maruah orang di tambah pula orang-orang tuli yang mempercayai kata-kata dusta dari hal yang benar tanpa menyiasat perkara yang sebenar dan yang menjadi mangsa adalah orang yang teraniaya itu tadi. Hal ini janganlah kita sangkal, lihat saja pada setiap pilihanraya yang diadakan di Negara kita. Pelbagai fitnah ditabur bagi menarik perhatian pengundi, mereka lebih gemar menggunakan taktik kotor dan yang malangnya adalah pengundi-pengundi kerana mereka tidak tahu mana yang benar dan mana yang tidak.

8. Ada sesetengah daripada itu yang terlalu taksub dengan parti politik mereka sanggup membelakangkan agama dengan mencari pasal dan mula bergaduh sesama sendiri walaupun mereka satu bangsa dan agama. Hal ini amat menyedihkan bagi orang Islam di Negara kita. Mereka lebih kejarkan hal dunia dari akhirat. Apa pun jika anda sebagai seorang rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, bersatulah di dalam landasan Islam agar Islam itu kukuh dan tidak boleh diperkotak-katikkan oleh orang lain.

0 comments: