Thursday, August 13, 2009

Doa & Restu Ibu


Apakah yang anda faham tentang seorang yang bergelar Ibu?. Jika anda menyatakan bahawasanya anda memahami maksud seorang yang bergelar ibu maka sudah pasti tidak akan ada rumah warga tua yang wujud di dalam Negara kita. Memang tidak dinafikan terdapat segelintir daripada kita yang faham dan hargai seorang yang bergelar Ibu, malangnya ramai di antara kita hanya faham tetapi masih menjadi anak yang tidak berguna.

Tahukah anda doa Ibu itu tiada tapisan di antara Ibu dan Allah?. Tahukah juga anda, bahawasanya restu Ibu itu kunci kepaya sesuatu kejayaan dan juga kunci kepada kebahagiaan?. Jawapan yang sama, rata-rata masyarakat Melayu kita sedar dan tahu tetapi malangnya mereka sebenarnya tahu tetapi mereka abaikan dan tidak peduli tentang doa dan restu Ibu. Kita dianugerahkan seorang saja Ibu dalam hayat kita, mengapa susah sangat untuk kita berjasa kepada mereka sedangkan mereka telah banyak berkorban untuk kita selama ini. Bukan duit yang mereka pinta, cukup sekadar kasih sayang.

Kita bisa memberikan kasih sayang kepada orang yang kita tidak rapat atau kepada rakan-rakan atau kepada pasangan kekasih tetapi agak payah untuk kita memberikan kasih sayang kepada Ibu kita sendiri. Mengapa?, kerana terikut-ikutkan pantun melayu kita sendiri iaitu Nasi lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan, BUANG EMAK buang saudara, KERANA KASIH HAMBA TURUTKAN. Jika diamati dan berfikir secara positif, pantun ini sebenarnya ingin memberi nasihat dalam nada sinis dalam bentuk kiasan tetapi di salahertikan oleh masyarakat kita dengan menganggap pantun ini memberi inspirasi buat cinta bodoh mereka.

Hari ini kita sudah dewasa dan umur pun sudah melangkaui 30 tahun ke atas, dan kita ingat apabila kita sudah cukup matang dan sudah cukup dewasa maka kita boleh mengenepikan Ibu kita dalam apa jua yang hendak kita lakukan?. Anda harus ingat kejayaan yang anda capai hari ini semuanya hasil dari berkat doa dan restu Ibu, jika tidak kerana doa dan restu Ibu ini maka jangan haraplah anda akan berada di tahap sekarang.

Hal berkaitan ibu ini janganlah kita anggap perkara yang remeh atau mudah. Sudah terang lagi bersuluh, syurga kita terletak dibawah telapak kaki Ibu. Lihatlah betapa besarnya kuasa Ibu ini. Kita tidak akan rugi jika berbuat baik pada Ibu kita. Semua kata-kata ini bukanlah direka cipta, atau satu sandiwara ia merupakan kebenaran. Lihat saja kepada individu yang bernikah tanpa mendapat restu Ibu bapa, apa yang terjadi akhirnya kepada pasangan ini?. Mereka hidup tidak tenteram dan akhirnya bercerai. Cabar dan buktikan pada saya jika ada perkahwinan yang tidak mendapat restu Ibu bapa akan hidup bahagia selamanya tanpa ada masalah.

Masyarakat kita sering alpha dengan pasangan mereka sehinggakan membelakangi Ibu mereka sendiri. Ada yang sanggup buang Ibu demi cinta sejati mereka, (kononnya lah). Ada juga yang mengeluarkan perkataan-perkataan yang menyinggung perasaan Ibu mereka demi kerana pasangan mereka, dan ada pula yang sanggup melakukan apa saja demi menyatukan cinta mereka. Saya berasa amat pelik, mengapa seorang anak yang telah dilahirkan dan dibesarkan malah diberi kasih sayang apatah lagi wang ringgit sanggup membelakangkan Ibu bapa mereka demi kerana seseorang yang baru setahun dua mereka kenali.

Sebenarnya ramai di antara kita begitu bodoh sombong terhadap Ibu mereka sendiri. Boleh dikatakan kesemuanya hidup berpura-pura dengan Ibu mereka. Dalilnya, apabila kita bertanya kepada seseorang, sayang tak meraka dengan ibu mereka?. Sudah pasti jawapan yang kita terima 'Ya, saya sayang Ibu saya'. Ada juga yang memberikan jawapan begini 'Hish, siapa yang tak sayang ibu, mestilah sayaaaanggggg!!!', tetapi pada masa yang sama mereka ini menyakiti hati ibu mereka malah tidak mendegar kata. Inilah yang dikata hidup berpura-pura sepertimana yang telah saya katakan tadi.

Kita mungkin tidak sedar pada saat ini betapa bertuahnya kita mempunyai Ibu, tetapi percayalah suatu hari nanti kita akan sedar apabila Ibu kita telah pergi meninggalkan kita buat selamanya, tatkala itu jangan kita menyesal dengan apa yang telah kita lakukan terhadap mereka. Kepada mereka yang mempunyai Ibu, nasihat saya berbaktilah pada Ibu anda. Jangan sesekali menyusahkan hidup mereka mahupun menyakiti hati mereka. Jangan biarkan mereka menangis dek kerana perbuatan kita. Haramkan pantun Melayu ini juga kerana ia telah membuatkan masyarakat kita menderhaka kepada Ibu meraka

Salam Sayang ku pada Ibu ku ROZATA ABDULLAH



0 comments: