Sunday, August 9, 2009

Kawan & Teman


Kawan merupakan seorang kenalan yang saling kita kenal antara satu sama yang lain, dari segi batasan, teman mempunyai batas-batas dari pelbagai aspek termasuk pergaulan dan lain-lain. Kawan juga seorang yang dikatakan dekat dengan kita selain daripada keluarga. Kawan atau teman atau apa pun gelaran yang anda berikan, adalah tempat untuk kita lahirkan perasaan suka dan duka atau pun berkongsi rahsia yang kita ada.

Apa yang menarik tentang kawan?.

Beberapa individu telah saya temui dan ajukan soalan ini, dan jawapan yang saya perolehi masing-masing tidak jauh berbeza iaitu menariknya seorang kawan atau teman ialah seorang yang boleh berkongsi masalah, yang boleh kita berhibur dan yang boleh didekati dalam keadaan apa pun.

Apa pun tafsiran anda, ingin saya bertanya sejauh manakah teman atau kawan anda dapat bersama dengan anda di masa anda berduka?.

Persoalan ini juga telah saya tujukan kepada 20 orang individu secara rawak bagi mendapatkan jawapan atas kajian yang saya lakukan ini, tetapi sebelum anda menjawab persoalan ini izinkan saya bertanya lagi. Pernahkah di antara kita yang pernah mendapat berita sedih seperti kematian ahli keluarga terdekat atau pernahkah kita terlantar di hospital dan siapa yang akan menjaga dan berada di sisi kita?. Adakah teman?. Mungkin ada segelintir antara kita menjawab teman, dan ada pula yang berkata ahli keluarga.

Jika ada yang pernah terlantar di hospital akibat kemalangan atau sakit atau apa saja yang berlaku, adakah teman menjaga kita siang dan malam?. Adakah teman pernah menyuapkan kita makan, atau pun adakah pernah teman memimpin kita dan membantu kita untuk ke bilik air?. Sejauh manakah teman boleh bersama kita di dalam kita berduka?. adakah untuk 1 atau 2 atau 3 kali sahaja atau untuk selamanya?.

Apabila persoalan-persoalan ini diajukan kepada 20 orang tadi barulah mereka memberi jawapan yang berbeza iaitu tidak ada seorang pun teman yang berada begitu dekat sepertimana persoalan yang telah saya ajukan sebentar tadi. Inikah yang anda katakan teman?. Teman yang hanya ada pada masa kita berharta, bersuka ria dan berkedudukan tinggi. Tidak ramai di antara kita yang melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang yang bergelar teman.

Dalilnya, apabila kita mendengar satu berita seperti kematian keluarga terdekat contohnya. Adakah cukup sekadar kita menelefon dan memberikan ucapan takziah sahaja?. Jika itu sudah memadai bagi kita, maka anda bukanlah seorang teman yang bisa di panggil teman. Anda sepatutnya pergi menziarahi malah membantu dari segi tenaga ataupun dari segi kewangan. Anda patut turut bersedih dan sering berada di sisi teman kita di kala mereka berduka sehingga selesai urusan pengebumian. Jika kita sibuk mana sekali pun, kita patut meluangkan masa sedikit seperti menghadiri majlis tahlil untuk 3 malam berturut-turut. Jangan pula kita memberikan seribu alasan, jika itu lah yang terjadi maka anda juga bukanlah teman yang baik.

Hal lain pula, jika kita dapati teman kita sakit dan terlantar di hospital, apakah sudah memadai kita menziarahi dengan membawa buah tangan dan hanya meluangkan masa selama 30minit atau sejam dan hanya duduk dan bertanyakan khabar?. Jika inilah yang terjadi maka anda juga bukanlah seorang teman yang baik. Teman yang baik akan menziarahi dan menjaga teman kita di kala teman kita terlantar di hospital. Bukan setakat itu saja, kita juga turut membantu menyuapkan makanan dan menguruskan teman kita tidak kira berapa lama pun teman kita berada di hospital. Inilah yang baru dikatakan teman.

Tidak perlu kita pergi jauh, cuba anda tanya pada diri anda sendiri, adakah kita teman yang baik?. Adakah kita laksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang teman?. Berbalik pada persoalan yang diajukan kepada 20 orang tadi, hanya seorang sahaja yang dikategorikan sebagai seorang teman yang baik. Selebihnya hanya sekadar teman yang melepaskan batuk di tangga.

Jadi renung-renungkan, janganlah kita menjadi teman yang tahu berhibur di kala suka tetapi jadilah teman yang tahu menghiburkan teman kita di kala mereka berduka. Teman sejati merupakan teman yang berdampingan dengan kita di kala kita susah dan berduka, bukan sekadar berada di sisi tetapi dia juga turut sama menyelami hati dan perasaan seolah-olah masalah atau bebanan itu dia yang tanggung.

0 comments: