Manusia sering menjaga martabat dan maruah mereka tidak kira di mana saja mereka berada, tetapi malangnya sejauh mana kita menjaganya, ia tetap akan dipersendakan oleh orang-orang yang tidak berguna . Hal ini amatlah menjengkelkan apatah lagi manusia zaman ini bukanlah manusia yang hidup di zaman batu.
Kebiasaannya orang yang sering menjatuhkan martabat dan maruah kita ini merupakan orang yang suatu masa dulu memang cukup rapat dengan kita tetapi apabila berlakunya ketidakpuashati atau terjadinya perkara-perkara kecil yang mengakibatkan pergaduhan maka mulalah ia memperkatakan sesuatu yang kurang enak didengar sehinggakan boleh mengakibatkan maruah seseorang itu jatuh.
Kadang-kadang kita melihat perkara ini kecil dan tidak membawa kesan yang teruk, tetapi malangnya perkara inilah yang boleh mengakibatkan kesan yang amat buruk dan boleh mengakibatkan perpecahan antara dua individu dan tidak mustahil ia juga boleh membawa perpecahan dan kemusnahan di dalam sesuatu kumpulan. Mana tidaknya, orang yang pernah menjadi kawan rapat kita dahulunya telah menjatuhkan maruah kita di depan teman-teman lain dan teman-teman lain juga turut mempercayai dan menyokong perbuatan itu maka terjadilah perpecahan ke atas kumpulan tersebut dan akhirnya fitnah timbul dan mula lah pergaduhan di kalangan mereka.
Inilah masalah yang seringkali terjadi di kalangan orang melayu. Penyakit ini harus dihentikan dengan serta merta jika kita tidak mahu diri kita terperangkap di dalam permasalahan yang ditimbulkan ini. Anda harus ingat, mereka yang suka menjatuhkan maruah orang merupakan manusia yang sememangnya tidak mempunyai maruah. Mereka boleh dianggap sebagai syaitan yang takut akan mukanya sendiri. Ia juga boleh di anggap sebagai barah dan kita harus perang habis-habisan untuk melawan barah ini. Pepatah melayu ada menyatakan 'mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih'. Inilah hal berlaku kepada orang yang suka membuat fitnah atau yang suka menjatuhkan maruah orang. Sebenarnya diri sendiri yang tidak betul lalu menghukum orang lain dengan kelakuannya yang tidak baik.
Percaya atau tidak, lambat laun mereka yang suka menjatuhkan martabat dan maruah seseorang pasti akan menyesal atas perbuatan mereka itu. Jadi untuk apa kita hendak menjatuhkan martabat dan maruah seseorang jika kita sudah tahu bahana yang akan menimpa, oleh itu hentikanlah daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah. Jadi renung-renungkan lah.
0 comments:
Post a Comment