Sunday, October 25, 2009

Kisah Pengorbanan Seorang Ibu


Sesungguhnya Ibu merupakan seorang hamba Allah yang mempunyai banyak kelebihan. Maka tidak hairanlah mengapa aku sering menulis kisah berkenaan Ibu. Semua ini adalah untuk tatapan teman-teman agar aku dan teman-teman sentiasa menghormati Ibu agar hidup ini lebih diberkati. Kini aku ingin menyingkap sebuah lagi kisah tentang seorang ibu yang begitu malang nasibnya dari mula dia hidup hinggalah ke akhir hayatnya. Justeru itu, aku berharap agar kisah ini dapat menjadi teladan kepada diriku dan teman-teman semua.

Di sebuah kota, ada sepasang kekasih yang saling mencintai. Si lelaki berasal dari keluarga kaya, dan merupakan orang yang disegani di kota tersebut. Sedangkan si wanita adalah seorang anak yatim piatu, hidup serba kekurangan, tetapi cantik, lemah lembut, dan baik hati. Kelebihan inilah yang membuatkan si lelaki jatuh hati.

Qalisha hamil di luar nikah. Lalu qayyum mengajaknya menikah, dengan membawa qalisha ke rumahnya. Seperti yang sudah mereka duga, orang tua qayyum tidak menyukai qalisha. Sebagai orang yang disegani di kota tersebut, latar belakang qalisha akan merosakkan reputasi keluarga qayyum. Sebaliknya, keluarga qayyum telah mencarikan jodoh yang sepadan untuk anaknya. Qayyum berusaha menyakinkan orang tuanya, bahawa dia sudah membulatkan keputusannya, apa pun risikonya dia akan menaggungnya tanpa menyusahkan sesiapa pun.

Qalisha merasa tak berdaya lagi, tetapi qayyum menyakinkan qalisha bahawa tidak ada seorang pun yang boleh memisahkan mereka. Qayyum terus bertikam lidah dengan orang tuanya, bahkan membantah perkataan orang tuanya, sesuatu yang belum pernah dilakukannya selama hidupnya (di zaman dulu, umumnya seorang anak sangat tunduk pada orang tuanya).

Sebulan telah berlalu, qayyum gagal untuk memujuk orang tuanya agar menerima calon isterinya. Orang tua qayyum juga tertekan kerana gagal memujuk satu-satunya anak mereka agar berpisah dengan qalisha, yang menurut mereka akan sangat merugikan masa depannya.

Qayyum akhirnya menetapkan pilihan untuk kawin lari. Ia memutuskan untuk meninggalkan semuanya demi kekasihnya yang dia cintai. Waktu keberangkatan pun ditetapkan, tetapi rupanya rencana itu telah diketahui oleh orang tua qayyum. Maka ketika tiba saatnya, orang tua qayyum telah mengunci anaknya di dalam kamar dan telah dijaga ketat oleh beberapa orang pengawal di rumahnya yang besar.

Sebagai gantinya, kedua orang tua qayyum telah pergi ke tempat yang telah dijanjikan sepasang kekasih tersebut untuk melarikan diri. Alangkah terkejutnya qalisha melihat kedatangan ayah dan ibu qayyum. Mereka kemudian memohon pengertian daripada qalisha, agar meninggalkan anak mereka. Menurut mereka, dengan perbezaan status dan darjat yang sangat besar, perkawinan mereka hanya akan menjadi kutukan seluruh penduduk kota, manakal reputasi anaknya akan tercemar, orang-orang tidak akan menghormatinya lagi. Akibatnya, perniagaan
yang akan diwariskan kepada anak mereka akan mengalami kerugiaan secara perlahan-lahan.

Mereka memberikan duit dalam jumlah yang besar, dengan permohonan agar qalisha meninggalkan kota ini, tidak bertemu dengan anaknya lagi, dan menggugurkan kandungannya agar duit tersebut dapat digunakan untuk membiayai hidupnya di tempat lain.

Qalisha menangis tersedu-sedu. Dalam hati kecilnya, ia sedar bahawa perbezaan status dan darjat mereka sangat jauh, dan ini akan menimbulkan banyak masalah bagi kekasihnya. Akhirnya, dia setuju untuk meninggalkan kota tersebut tetapi menolak untuk menerima duit itu. Dia mencintai Qayyum, bukan kerana duitnya. Walaupun dia sedar, jalan hidupnya pada masa depan akan mengalami kesulitan.

Ibu qayyum juga memohon kepada qalisha untuk meninggalkan sepucuk surat kepada mereka, yang menyatakan bahawa dia memilih untuk berpisah dengan qayyum. Ibu qayyum risau anaknya akan terus mencari kekasihnya, dan tidak mahu meneruskan usaha orang tuanya. "Walaupun ia kelak bukan suamimu, bukankah anda ingin melihatnya sebagai seseorang yang berjaya? Ini adalah untuk kebaikan kalian berdua", kata ibu qayyum.

Dengan berat hati, qalisha menulis sepucuk surat untuk qayyum. Dia menjelaskan bahawa dia sudah memutuskan untuk pergi meninggalkan qayyum. Dia sedar bahawa jika dia terus berada disisi kekasihnya dia hanya akan merugikan qayyum. Dia minta maaf kerana telah melanggar janji setia mereka berdua, di mana mereka akan selalu bersama dalam menghadapi penolakan orang tua qayyum akibat perbezaan status mereka. Dia tidak kuat lagi menahan penderitaan ini, dan memutuskan untuk berpisah. Titisan air mata qalisha telah membasahi surat tersebut.

Wanita yang malang itu tidak mempunyai pilihan lain. Dia terjebak di antara moral dan cintanya. Qalisah segera meninggalkan kota itu, sendirian. Dia telah menuju ke sebuah desa yang lebih terpencil. Disana, dia bertekad untuk melahirkan dan membesarkan anaknya.

==========0000000000==============

Tiga tahun telah berlalu. Ternyata wanita tersebut telah menjadi seorang ibu. Anaknya merupakan seorang lelaki. Qalisha bekerja keras siang dan malam, untuk membiayai kehidupan mereka. Di siang hari, dia bekerja di sebuah industri rumahtangga. Malam hari, dia mengambil upah mencuci pakaian tetangga dan menyulam. Dia melakukan semua pekerjaan ini sambil menggendong anaknya di belakang. Walaupun dia mempunyai pendidikan yang baik, dia menyedari bahawa pekerjaan lain tidak memungkinkan, kerana dia harus berada di sisi anaknya pada setiap saat. Tetapi qalisha tidak pernah mengeluh dengan pekerjaannya?.

Di usia tiga tahun, suatu saat, si anak tiba-tiba sakit. Demamnya sangat tinggi. Dia segera dibawa ke rumah sakit yang berhampiran. Anak tersebut harus menginap di rumah sakit selama beberapa hari. Biaya perubatan telah mengurangkan seluruh tabungan dari hasil kerja kerasnya selama ini, dan itupun masih belum mencukupi untuk membayar kos perubatan tersebut. Ibu tersebut akhirnya meminjam ke sana-sini, kepada siapapun yang bermurah hati untuk memberikan pinjaman.

Saat dibolehkan pulang, doktor menyarankan kepada qalisha untuk membuat sup daging herba, untuk mempercepat kesembuhan puteranya. Ramuan tersebut terdiri dari herba dan daging lembu untuk dimasak bersama. Tetapi qalisha hanya mampu membeli herba-herba tersebut, dia tidak mempunyai duit lagi untuk membeli daging. Untuk meminjam, rasanya tidak mungkin, kerana dia telah berhutang kepada semua orang yang dia kenal, dan hutang tersebut masih belum dibayar.

Setibanya di rumah, qalisha menangis. dia tidak tahu apa yang harus dia buat untuk mendapatkan daging. Kedai daging di desa tersebut telah menolak permintaannya, untuk bayar di akhir bulan saat qalisha mendapat gaji.

Di antara tangisannya, dia tiba-tiba mendapatkan idea. Dia mendapatkan sebilah pisau dapur dan sepotong kain. Setelah pisau dapur dibersihkan dengan air panas, qalisha nekad mengambil
sekerat daging dari pehanya. Untuk tidak membangunkan anaknya yang sedang tidur, dia mengikat mulutnya dengan sepotong kain. Darah berhamburan. Si ibu tengah berjuang mengambil dagingnya sendiri, sambil berusaha tidak mengeluarkan suara kesakitan yang teramat sangat?.

Hujan lebat pun turun. Lebatnya hujan menyebabkan rintihan kesakitan si ibu tidak kedengaran oleh jiran tetangga, terutama oleh anaknya sendiri. Nampaknya langit juga tersentuh dengan pengorbanan yang sedang dilakukan oleh si ibu???.

==========0000000000==============

Enam tahun telah berlalu, anaknya membesar menjadi seorang anak yang tampan, cerdas, dan berbudi pekerti. Ia juga sangat sayang ibunya. Di hari minggu, mereka sering pergi ke taman di desa tersebut, bermain bersama sambil menyanyikan lagu "Anak".

Si anak juga sudah bersekolah. Si ibu sekarang bekerja sebagai penjaga kedai, kerana dia sudah boleh meninggalkan anaknya di siang hari. Hari-hari mereka keluar rumah untuk menuju ke sekolah dan tempat kerja bersama dengan penuh kebahagiaan. Si anak memohon dan kadang-kadang memaksa ibunya, agar dia boleh membantu ibunya mencuci di waktu malam. Dia tahu ibunya masih mencuci di malam hari, kerana perlu tambahan untuk membiaya persekolahnya. Dia memang seorang anak yang baik.

Dia juga tahu, bulan depan adalah hari ulang tahun ibunya. Dia berniat untuk membelikan sebuah jam tangan yang sangat didambakan oleh ibunya selama ini. Ibunya pernah mencubanya di sebuah kedai, tetapi telah menolak setelah pemilik kedai menyebutkan harganya. Jam tangan itu sederhana, tidak terlalu mewah, tetapi bagi mereka, itu terlalu mahal. Masih banyak keperluan lain yang perlu dibiayai.

Si anak segera pergi ke kedai tersebut, yang tidak jauh dari rumahnya. Dia meminta kepada pemilik kedai tersebut agar menyimpan jam tangan itu, kerana dia akan membelinya pada bulan depan. "Apakah kamu mempunyai wang?" tanya pemilik kedai. "Tidak sekarang, nanti saya akan cari", kata si anak dengan serius.

Ternyata, bulan depan si anak benar-benar muncul untuk membeli jam tangan tersebut. Pemilik kedai juga terkejut, kiranya si anak tidak hanya barmain kata. Ketika menyerahkan duitnya, pemilik kedai bertanya "Dari mana kamu mendapatkan wang itu?, bukan mencuri kan?". "Saya tidak mencuri, pakcik. Hari ini adalah hari ulang tahun ibuku. Saya biasanya naik beca pergi dan pulang ke sekolah. Selama sebulan ini, saya berjalan kaki pulang dari sekolah ke rumah, duit belanja sekolah dan duit becanya saya simpan untuk beli jam ini. Kakiku sakit, tapi ini semua untuk ibuku. Oh ya, jangan beritahu ibuku tentang hal ini. Pasti dia akan marah" kata si anak. Pemilik kedai nampak kagum pada anak tersebut.

Seperti biasanya, lewat petang si ibu pulang dari kerja. Si anak segera memberikan ucapan selamat pada ibu, dan menyerahkan jam tangan yang telah dibelikannya. Si ibu terkejut bercampur haru, ia bangga dengan anaknya. Jam tangan ini memang merupakan impiannya. Tetapi si ibu tiba-tiba tersedar, dari mana si anak mendapatkan wang untuk membeli jam tersebut. Si anak tutup mulut, tidak mahu menjawab.

"Apakah kamu mencuri, Nak?" Si anak diam seribu bahasa, dia tidak ingin ibunya mengetahui bagaimana dia mengumpulkan wang tersebut. Setelah ditanya berkali-kali tanpa jawapan, si ibu membuat andaian bahawa anaknya telah mencuri. "Walaupun kita miskin, kita tidak boleh mencuri. Bukankah ibu sudah mengajari kamu tentang hal ini?" kata si ibu.

Lalu ibu mengambil rotan dan mulai memukul anaknya. Biarpun ibu sayang pada anaknya, dia harus mendidik anaknya dengan tegas. Si anak menangis, sedangkan air mata si ibu mengalir keluar. Hatinya begitu perih, kerana dia sedang memukul belahan hatinya. Tetapi ia harus melakukannya, demi kebaikan anaknya juga.

Suara tangisan si anak terdengar keluar. Para tetangga menuju ke rumah tersebut lalu berasa heran, dan kemudian prihatin setelah mengetahui kejadiannya. "Ia sebenarnya anak yang baik", kata salah satu tetangganya. Kebetulan sekali, pemilik kedai jam tangan sedang berkunjung ke rumah salah satu tetangganya yang merupakan keluarganya juga.

Ketika dia keluar melihat ke rumah itu, ia segera mengenal anak itu. Ketika mengetahui persoalannya, dia segera menghampiri ibu itu untuk menjelaskan. Tetapi tiba-tiba si anak berlari ke arah pemilik kedai, memohon agar jangan menceritakan hal yang sebenar pada ibunya.

"Nak, ketahuilah, anak yang baik tidak boleh berbohong, dan tidak boleh menyembunyikan sesuatu dari ibunya". Si anak mengikuti nasihat pemilik kedai itu. Maka pemilik kedai itu mulai menceritakan bagaimana si anak tiba-tiba muncul di kedainya sebulan yang lalu, memintanya untuk menyimpan jam tangan tersebut, dan sebulan kemudian akan membelinya. Anak itu muncul siang tadi di kedainya, katanya hari ini adalah hari ulang tahun ibunya. Ia juga menceritakan bagaimana si anak berjalan kaki dari sekolahnya pulang ke rumah dan tidak berbelanja di sekolah selama sebulan ini, demi untuk mengumpulkan wang membeli jam tangan kesukaan ibunya.

Tampak pemilik kedai menitiskan air mata saat selesai menjelaskan hal tersebut, begitu pula dengan tetangganya. Si ibu yang sudah diperjelaskan tentang hal yang sebenar segera memeluk anak kesayangannya, keduanya menangis dengan tersedu-sedu?. "Maafkan ibu, Nak". "Tidak Bu, saya yang bersalah".


===========000=================

Sementara itu, ternyata ayah si anak sudah pun bernikah lain, tetapi isterinya mandul. Mereka tidak punya anak. Orang tua lelaki sangat sedih akan hal ini, kerana tidak akan ada yang mewarisi perniagaan dan kekayaan mereka kelak.

Ketika si ibu dan anaknya berjalan-jalan ke kota, dalam sebuah kesempatan, mereka telah terserempak dengan si ayah dan isterinya. Si ayah baru menyedari bahawa sebenarnya ia sudah mempunyai anak dari darah dagingnya sendiri. Ia mengajak mereka berkunjung ke rumahnya, bersedia menanggung semua biaya hidup mereka, tetapi si ibu menolak. Kami boleh hidup dengan baik tanpa bantuanmu.

Berita ini telah diketahui oleh orang tua lelaki. Mereka begitu ingin melihat cucunya, tetapi si ibu tidak mengizinkan.

===========000==================

Di pertengahan tahun, penyakit si anak kembali teruk. Doktor mengatakan bahawa penyakit si anak memerlukan pembedahan dan rawatan dengan segera. Kalau ia bertambah teruk lagi, maka ia boleh membahayakan jiwanya.

Kewangan si ibu sudah agak baik, jika mahu dibandingkan sebelum ini. Tetapi biaya perubatan tidaklah murah, ia tidak mampu membiayainya semua kos tersebut.

Si ibu kembali berfikir. Tetapi ia tidak menemukan jalan. Satu-satunya jalan keluar adalah menyerahkan anaknya kepada si ayah, kerana si ayahlah yang mampu membiayai kos perubatan.

Maka hujung minggu ini, si ibu mengajak anaknya berjalan-jalan di kota, bermain-main di taman kesukaan mereka. Mereka gembira sekali, menyanyikan lagu "Anak", lagu kesukaan dan kesayangan mereka. Untuk sejenak, si ibu melupakan semua penderitaannya, ia hanyut dalam
kegembiraan bersama si anak.

Sepulang ke rumah, ibu menjelaskan keadaannya pada si anak. Si anak menolak untuk tinggal bersama ayahnya, kerana dia hanya ingin bersama dengan ibu. "Tetapi ibu tidak mampu membiayai perubatan kamu, Nak" kata ibu. "Tidak perlu risau Bu, saya tidak perlu dirawat. Saya sudah sihat, apabila saya berada disisi ibu. Bila sudah besar nanti, saya akan cari banyak wang untuk membiayai perubatan dan untuk buat belanja ibu. Nanti, ibu tidak perlu bekerja lagi, Bu", kata si anak. Tetapi ibu tetap berkeras untuk menghantar anaknya ke rumah ayahnya pada keesokkan hari. Penyakitnya memang boleh bertambah teruk pada setiap saat selagi tidak menjalani rawatan.

Di sana ia diperkenalkan dengan datuk dan neneknya. Keduanya sangat senang melihat anak tersebut. Ketika ibunya hendak pulang, si anak meronta-ronta ingin ikut pulang bersama dengan ibunya, walaupun telah diberikan mainan yang tidak pernah dia peroleh saat bersama ibunya. "Saya ingin Ibu, saya tidak mahu mainan itu", teriak si anak dengan nada yang sangat sedih. Dengan hati sedih dan menangis, si ibu berkata "Nak, kamu harus dengar nasihat ibu. Tinggallah di sini. Ayah, datuk dan nenek akan bermain bersamamu". "Tidak bu, saya tidak mahu mereka. Saya hanya mahu ibu, saya sayang ibu, bukankah ibu juga sayang saya?. Ibu sekarang tidak mahu saya lagi", si anak mulai menangis. Pujukan demi pujukan daripada ibunya untuk tinggal di rumah besar tersebut tidak didengari oleh anak kecil tersebut. Si anak menangis tersedu-sedu. "Kalau ibu sayang saya, bawalah saya pergi, Bu". Sampai pada akhirnya, ibunya memaksa dengan mengatakan "Benar, ibu tidak sayang kamu lagi. Tinggallah disini", ibunya segera lari keluar meninggalkan rumah itu. Tampak anaknya meronta-meronta dengan tangisan yang amat memilukan.

Di rumah, si ibu kembali meratapi nasibnya. Tangisannya begitu menyayat hati, ia telah berpisah dengan anaknya dan ini sesuatu yang tidak dijangkakanya sama sekali akan berlaku. Dia juga tidak diperbolehkan menjenguk anaknya, tetapi mereka telah berjanji akan merawat anaknya dengan baik. Di antara tangisannya, dia tidak menemukan erti hidup lagi. Dia telah kehilangan satu-satunya alasan untuk hidup, iaitu anaknya yang tercinta.

Kemudian ibu yang malang itu mengambil pisau dari dapur untuk memotong urat nadinya. Tetapi di saat dia hendak melakukan, dia sedar bahawa anaknya mungkin tidak akan diperlakukan dengan baik. Tidak, aku harus hidup untuk mengetahui bahawa anak ku diperlakukan dengan baik. Segera, niat bunuh diri itu dibatalkan, demi anaknya juga.

============000=========

Setahun berlalu. Si ibu telah berpindah ke tempat lain dan mendapatkan kerja yang lebih baik lagi. Si anak telah pun sihat selepas menjali rawatan, walaupun dia harus menjalani rawatan susulan secara rutin pada setiap bulan.

Seperti biasa, si anak ingat akan hari ulang tahun ibunya. Wang pun dapat ia perolehi dengan mudah, tanpa perlu bersusah payah mengumpulkannya. Maka, pada hari tersebut, sepulangnya dari sekolah, dia tidak pulang ke rumah, dia segera menaiki bas menuju ke desa tempat tinggal ibunya, yang memakan waktu beberapa jam. Si anak telah membeli setangkai bunga mawar sebagai tanda kasihnya pada ibu, sepucuk surat yang menyatakan ia setiap hari merindukan ibu, sebuah kad ucapan selamat ulang tahun, dan nilai ujian yang sangat bagus. Dia akan memberikan semuanya kepada ibu.

Si anak berlari riang gembira melewati lorong-lorong kecil menuju ke rumahnya. Tetapi ketika sampai di rumah, dia mendapati rumah itu telah kosong. Tetangga mengatakan ibunya telah pun berpindah pindah, dan tidak ada yang tahu kemana ibunya pergi. Si anak tidak tahu apa yang harus dibuat, dia duduk di depan rumah tersebut sambil menangis "Ibu, apakah ibu benar-benar tidak menginginkan saya lagi". Apakah saya telah melakukan dosa yang besar?, sehinggakan membuatkan ibu berjauhan dengan saya. Si anak sebenarnya tidak mengetahui yang mana datuk dan neneknya tidak membenarkan ibunya berjumpa dengan si anak.

Sementara itu, keluarga si ayah begitu cemas, ketika si anak masih belum pulang ke rumah lebih dari 3 jam. Guru sekolah mengatakan semuanya sudah pulang. Semua tempat sudah dicari, tetapi tidak ada khabar. Mereka panik. Si ayah menghubungi ibunya, yang juga sangat terkejut akan berita itu. Polis pun dihubungi untuk melaporkan akan kehilangan anaknya.

Ketika si ibu sedang berfikir, tiba-tiba dia teringat sesuatu. Hari ini adalah hari ulang tahunnya. Dia terlalu sibuk sampai lupa akan hari ulang tahunya. Anaknya mungkin pulang ke rumah. Maka si ibu segera menuju rumah lamanya. Sayangnya, si ibu hanya menemukan kad ulang tahun, setangkai bunga mawar, nilai ujian yang bagus, dan sepucuk surat dari anaknya. Si ibu tidak mampu menahan tangisannya, saat membaca isi pati kandungan dalam surat itu.

Hari mulai gelap. Si ibu kini ditemani oleh si ayah untuk mencari si anak di sekitar desa tersebut, tanpa mendapatkan petunjuk apapun. Si ibu semakin resah. Kemudian si ibu melutut ke bumi lalu berdoa pada Allah, sambil menangis ia memohon agar menemukan anaknya.

Seperti mendapat petunjuk, si ibu tiba-tiba teringat bahawa dia dan anaknya sering pergi ke sebuah surau di desa tersebut. Ibunya pernah berkata, bahwa bila kamu memerlukan pertolongan, mohonlah kepada Allah dan pasti Allah akan menolongmu, jika niat kamu baik. Ibunya berpendapat bahawa anaknya mungkin pergi ke surau tersebut untuk memohon agar boleh bertemu dengan dirinya.

Benar saja, ternyata si anak berada di sana. Sememangnya naluri seorang ibu itu amat kuat. Tetapi dia pengsan, suhu badannya terlalu panas. Si ayah segera mendukung anaknya untuk dibwa kerumah sakit. Saat menuruni tangga surau, si ibu terjatuh dari tangga, dan berguling-guling jatuh ke hingga ke bawah.

============000==============

Sepuluh tahun sudah berlalu. Kini si anak sudah memasuki universiti. Dia sering berlawan mulut dengan ayahnya mengenai persoalan ibunya. Sejak jatuh dari tangga, ibunya tidak pernah ditemukan. Si anak telah banyak menghabiskan wang untuk mencari ibunya, tetapi tidak ditemunya. Tidak ada seorang pun yang tahu di mana ibunya berada.

Siang itu, seperti biasa sehabisnya kuliah, si anak berjalan bersama dengan teman wanitanya. Mereka tampak serasi. Saat dia memperlahankan keretanya di persimpangan sebuah jalan, dia terlihat seorang wanita tua yang sedang mengemis. Ibu tersebut nampak terlalu comot, dan memakai tongkat. Ia tidak pernah melihat wanita itu sebelumnya. Wajahnya tenang, dan dia nampak mulut wanita itu terkomat-kamit.

Di dorong perasaan ingin tahu, dia memberhentikan keretanya di suatu sudut jalan, dan turun bersama teman wanitanya untuk menghampiri pengemis tua itu. Si pengemis tua menghulurkan tin kosong untuk meminta sedekah sambil berkata dengan lemah, "Dimanakah anakku? Apakah kalian melihat anakku?"

Si anak tersentak denga kata-kata itu lalu dia mengamati wajah perempuan tua yang malang itu lalu dia berasa dia mengenali wanita tua itu. Tanpa disedari, dia segera menyanyikan lagu "Anak" dengan suara perlahan, tak disangka si pengemis tua turut ikut menyanyikannya dengan suara lemah. Mereka berdua menyanyi bersama. Dia segera mengenal suara ibunya yang selalu menyanyikan lagu tersebut di saat dia kecil, si anak segera memeluk pengemis tua itu dan berteriak dengan haru "Ibu, Ini saya ibu".

Sang pengemis tua itu amat terkejut, dia meraba-raba muka si anak, lalu bertanya, "Apakah kamu ??..(nama anak itu)?". "Benar bu, saya adalah anak ibu?". Keduanya pun berpelukan dengan erat, air mata kedua-duanya jatuh membasahi bumi. Akibat jatuh dari tangga, kepala si ibu telah terhantuk di lantai dan menjadikannya hilang ingatan, tetapi dia tidak pernah lupa akan anaknya dan setiap hari selama sepuluh tahun terus mencari anaknya, tanpa peduli dengan keadaaan dirinya. Sebagian orang menganggapnya sebagai orang gila.

Ternyata perjumpaan yang tidak diduga dan menyayat hati itu telah membawa ibunya kembali ke rahmatullah setelah pelukan yang erat kelihatan agak lemah. Si anak amat kesal dan teramat sedih atas apa yang baru sahaja berlaku. Janji dia untuk membiayai kehidupan ibu masih belum tertunai. Keadaan itu tidak dapat dia terima. Hidup si anak telah tertekan dan akhirnya si anak telah menjadi gila. Sebulan kemudian si anak menemui ajal akibat penyakitnya yang kembali datang menyerang.


Kepada sahabat-sahabatku, kisah ini merupakan kisah benar dan telah di adaptasi olehku untuk menjadikannya sebuah cerpen pendek. Terdapat penambahan cerita untuk memastikan kesan emosi itu dapat dirasai sepenuhnya. Kepada anak-anak yang masih mempunyai ibu, hargailah pengorbanan ibu yang selama ini telah mempertaruhkan hidupnya semata-mata untuk membesarkan kita. Pengorbanan ibu itu terlalu besar dan tidak ada sebarang nilai yang boleh menggantikan pengorbanan seorang ibu terhadap anak-anaknya. Apakah kita sanggup menderhaka terhadap ibu kita yang telah bergadai nyawa dan bersusah payah untuk membesarkan kita?. Sudah pasti kita tidak sanggup. Oleh itu, jadikan hari ini sebagai pemula dalam kehidupan kita untuk menghargai jasa dan pengorbanan ibu kita. Salam dan ciumlah ibu kita pada setiap pagi dan sebelum hendak tidur dan yang penting janganlah kita mengecilkan hati mereka dengan perbuatan yang mereka tidak senangi.

Semoga cerpen ini dapat memberi kita sedikit sebanyak keinsafan dan dapat menghargai ibu kita yang selama ini kita abaikan. Salam hormat.


No comments: