Wednesday, November 11, 2009

Kisah Dua Kerajaan


Alkisah terdapat dua buah kerajaan kecil yang berjiran dan bersahabat. Kedua kerajaan cukup makmur dan dipimpin oleh raja-raja yang bijaksana. Namun demikian, raja dari negara yang pertama selalu memerintahkan perdana menterinya untuk membuat isu-isu untuk membuat rakyatnya menjadi gusar. Pernah suatu kali raja bertitah bahawa kerajaannya akan di landa musim kemarau yang panjang sehingga rakyatnya terpaksa bekerja keras untuk menanam dan mengumpulkan bahan mentah dalam jumlah yang besar. Di masa lain, si raja bertitah bahawa kerajaannya akan diserang oleh kerajaan besar dengan tentera yang kuat sehingga rakyat diminta untuk ikut mengikuti latihan tentera.

Di waktu lain lagi, raja bertitah bahawa kerajaannya akan muflis sehingga rakyatnya berusaha keras untuk menyumbangkan sebahagian harta peribadi untuk kerajaan. Pada malam perayaan tahun baru, raja bertitah ada ramai pencuri berkeliaran sehingga rakyat harus berwaspada di tengah perayaan. Demikianlah, tahun demi tahun, walaupun negara tersebut makmur, tapi rakyatnya tidak pernah merasakan kemakmuran dan ketenangan dalam hidup. Sebaliknya, raja dari negara kedua yang cukup bijak, selalu membahagi-bahagikan kekayaan negara, dan merayakan tahun baru dengan meriah sehingga rakyatnya benar-benar gembira dan hidup dalam suasana serba cukup.

Suatu hari, raja dari negara kedua berkunjung ke negara pertama. Melihat isu-isu yang dilontarkan raja pertama kepada rakyatnya, maka bertanyalah raja kedua sambil kebingungan, "Negaramu sudah makmur, mengapa kau selalu membuat isu yang sebenarnya tidak pernah terjadi, sehingga rakyatmu gusar dan tidak boleh menikmati kemakmuran yang ada?"

Raja pertama menjawab, "Kemakmuran dan suasana yang selalu gembira akan membuat rakyatku leka, maka sekali-sekala aku membuat mereka gusar, sehingga tanpa sedar mereka akan berwaspada dan memiliki semangat juang yang tinggi untuk berbakti pada negaranya." Mendengar hal ini raja kedua hanya tertawa dan menggelengkan kepala, "Ada-ada saja", katanya.

Beberapa bulan setelah kunjungan tadi, kedua wilayah kerajaan yang saling berdekatan ini benar-benar dilanda musim kemarau. Melihat kesempatan ini, orang-orang dari sekutu lain menyerang mereka. Rakyat di kerajaan kedua benar-benar terkejut, mereka yang sudah lama berhadapan dengan musim kemarau, lari meninggalkan kerajaannya, kerana tidak tahan lagi menghadapi serangan dari pihak musuh. Sebaliknya, rakyat dari kerajaan pertama, kerana sudah dibiasakan hidup dalam keadaan sulit, tetap berwaspada, bahkan ramai di antara mereka secara suka rela bergabung menjadi tentera. Bencana kemarau tidak melunturkan semangat juang mereka. Maka, kerajaan pertama dapat menghalau serangan daripada pihak lawan, bahkan membantu kerajaan tetangganya untuk bertahan.

Setelah perang berakhir, sekali lagi raja dari negara kedua berkunjung. Dia berkata, "Sekarang aku faham mengapa kau bertitah akan hal-hal yang membuat rakyatmu gelisah." Mendengar kata-kata raja dari negara kedua, raja pertama tertawa dan berkata, "Sahabatku, bukankah tanah liat yang buruk rupanya boleh dibentuk, dibakar, dan dihias, dan akhirnya akan menjadi seramik yang indah? Seseorang yang sudah terbiasa menempuh liku-liku kehidup, akan memiliki semangat juang yang tinggi dan mampu bertahan."

Dari cerita diatas, dapat kita lihat, bahawa seseorang yang sudah terbiasa mengalami kesulitan akan lebih kreatif dan mampu "survive" dalam kehidupan. Misalnya kita yang sering terjerumus dalam permasalahan, akan berusaha untuk mencari "jalan keluar" dan membuatnya lebih kreatif serta lebih mengetahui selok belok perjalanan hidup. Oleh itu, saat menghadapi dugaan hidup, janganlah kita berputus asa, tetap berusaha, kerana setelah dugaan dan ujian berlalu, diri kita akan menjadi "produk" yang lebih baik lagi. "Hanya penderitaan hidup yang dapat mengajarkan kepada manusia akan erti keindahan dan nilai kehidupan." Kita boleh mengharapkan semua urusan berjalan dengan lancar tetapi jauh lebih baik bila kita siapkan mental dan berani menghadapi setiap masalah yang datang kepada kita. Kita juga boleh menguruskannya kerana kita sudah melalui liku-liku kehidupan yang sebenar dan juga kita sudah terbiasa dengan permasalahan yang telah kita hadapi.... !!!

0 comments: