Wednesday, May 27, 2009

Sana Sini Orang Kita - 'Sikap'

Pagi ini aku ke tempat kerja dengan menaiki Putra LRT. Kebiasaannya aku memandu ke tempat kerja tetapi hari ini aku malas lagi pun aku terpaksa masuk pagi untuk uruskan gaji pekerja, itu pun setelah aku mendapat panggilan telefon dari 'Boss' aku yang mengingatkan aku untuk datang awal, kebiasaannya aku masuk pejabat jam 2pm setiap hari.

Pada jam lebih kurang 11am aku menaiki LRT dari Stesen Jelatek menuju ke Stesen KL Sentral. LRT yang aku naik tu agak penuh sampai terpaksa aku berdiri. Setibanya LRT itu di Stesen Dato' Keramat, aku melihat seorang warga emas menaiki LRT tersebut lalu menghampiri tempat duduk yang telah disediakan untuk warga emas, ibu mengandung dan orang kurang upaya, tetapi malangnya tempat duduk itu telah diduduki oleh remaja perempuan. Apa yang menariknya di sini, warga emas itu terpingga-pengga melihat remaja tersebut dengan harapan agar remaja tersebut dapat memberikan tempat duduk itu kepada warga emas ini. Malangnya remaja perempuan ini membuat bodoh tanpa ada sedikit perasaan berperikemanusiaan.

Inilah sikap manusia yang sangat tuli apatah lagi mereka ini seolah-olah hidup di zaman batu yang langsung tidak ada akal dan perasaan. Mana tidaknya sememangnya tempat itu telah pun dikhaskan untuk golongan orang kurang upaya, wanita mengandung dan warga emas dan telah pun diletakkan 'sign' (tanda) sebesar-besar alam, takkanlah remaja-remaja ini bodoh dan buta?. Sepatutnya remaja-remaja ini membenarkan warga emas ini duduk di tempat yang telah disediakan untuk mereka ini.

Sampainya di Stesen KLCC, warga emas ini pun pergilah berlari untuk mendapatkan tempat duduk lain yang dikosongkan oleh orang yang hendak turun di stesen tersebut. Kasihan aku melihat warga emas ini, mana tidaknya bukan sahaja remaja yang tuli ini telah mengambil tempat duduk yang tidak sepatutnya dia duduk malah orang lain yang duduk berhampiran di situ juga boleh buat muka 'slamber' tanpa mengendahkan warga emas ini. Inilah sikap manusia zaman sekarang yang lebih pentingkan diri mereka sendiri.

Oleh yang demikian aku amat berharap agar kita semua menjadi manusia yang peka terhadap persekitaran, bantu orang itu bukan hanya dengan duit sahaja, tenaga dan sikap kita juga boleh membantu mereka-mereka yang memerlukan pertolongan. Inilah sikap segelintir orang kita, tidak seperti yang digembar gemburkan sepertimana sikap orang timur yang sopan satun, lemah lembut dan berhemah tinggi.

Sunday, May 24, 2009

Kepompong


1. Terdetik hati seketika apabila menonton telemovie 'Kepompong' saluran Astro Ria di mana seorang anak telah mencari ibunya yang telah hilang hampir 10 tahun. Ibunya merupakan seorang pelacur. Saya tidak menonton kisah ini dari awal tetapi begitulah ceritanya. Anaknya memang telah mengetahui yang ibunya merupakan seorang pelacur tetapi tidak pernah bermusuh atau membuang ibunya sebegitu rupa malah anaknya kerap pergi ke tempat pelacuran tersebut untuk memujuk dan membawa ibunya pulang ke rumah.

2. Apa yang hendak saya sampaikan di sini, kita tidak boleh sesekali memandang rendah atau jijik terhadap mana-mana manusia yang berkelakuan sebegini. Tidak semua pelacur yang memilih jalan hidup sebegitu. Apa yang perlu kita lakukan adalah dengan memdekati golongan ini dan membantu mereka mengikut kemampuan kita. Berubah atau tidak insan ini terpulang kepada takdir dan kehendak Ilahi.

3. Saya juga tidak bersetuju sesetengah pendakwah yang seringkali memandang jijik apatah lagi mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya terhadap golongan ini. Sebagai seorang pendakwah yang arif tentang agama, kita sepatutnya membantu mereka kembali ke jalan yang benar. Gagal atau tidak bukanlah satu persoalan, apa yang perlu kita lakukan jangan lah kita berputus asa dalam berdakwah. Sepertimana yang tertulis di dalam surah An-Nisaa' ayat 17-18, setiap manusia yang melakukan dosa harus bertaubat dan wajib kembali ke jalan Allah.

4. Sekiranya seseorang diredhai oleh Allah, itu bererti orang itu menemui kunci kesejahteraan. Itu juga bermakna orang yang bertaubat akan memperoleh laba dan manfaat, kejayaan dan kebahagiaan yang sesuai dengan harapan dikurniakan Allah.

5. Lihat firman Allah bermaksud : "Dan taubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang beriman supaya kamu beruntung.” (Surah an-Nur, ayat 31).

6. Allah berfirman lagi maksudnya: “Dan hendaklah kamu minta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertubatlah kepada-Nya, tentu Dia akan memberikan kepada kamu suatu kesenangan yang baik menjelang suatu masa yang tertentu dan tentu pula Dia akan memberikan ganjaran-Nya kepada setiap orang yang mempunyai kebaikan...” (Surah Hud, ayat 3).

7. Orang bertaubat dan taubatnya diterima Allah akan mendapat keuntungan besar, iaitu syurga yang kekal abadi. Ini janji Allah seperti yang disebut-Nya dalam firman-Nya bermaksud : “Hai orang beriman! Taubatlah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Mudah-mudahkan Allah menghapuskan kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalirkan sungai di bawahnya.” (Surah at-Tahrim, ayat 8).

8. Oleh yang demikian, kita sebenarnya mempunyai pilihan sama ada ingin memilih untuk terus kekal dalam kehidupan yang gelap ini atau pun berubah ke jalan yang diredhai oleh Allah. Usahlah kita takut atau memikirkan kesusahan hidup jika kita mahukan perubahan. Orang berbuat maksiat akan kehilangan mutiara iman dan takwa. Dia akan menjadi gundah-gulana dan resah-gelisah. Namun begitu, mutiara yang hilang itu akan ditemui kembali jika dia segera bertaubat. Jika apa yang hilang itu ditemui semula, hati tentu gembira dan puas.

9. Orang bertaubat memang dicintai Allah sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan orang yang membersihkan dirinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 222). Harus diingat akan janji-janji Allah terhadap hambanya yang kembali kepada-NYA, sudah pasti ada yang akan membantu kita mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh mencabar asalkan hati kita bersih dan ikhlas dan mahukan perubahan.

Wallahualam



Saturday, May 23, 2009

Pemimpin Mesra Rakyat?.


1. Apa yang dimaksudkan 'Pemimpin Mesra Rakyat?. Jika kita amati, maksud tersebut merupakan seorang pemimpin yang mudah didekati oleh rakyat, dengan erti kata lain pemimpin yang senang didampingi oleh rakyat tanpa ada sebarang protokol atau kerenah. Boleh diibaratkan seperti kita menyambut Hari Raya Aidilfitri di mana kita akan membuka pintu rumah kita untuk sesiapa sahaja yang mahu kunjungi. Inilah yang dinamakan sebagai 'Pemimpin Mesra Rakyat'.

2. Slogan ini sering dilaung-laungkan oleh setiap pemimpin di Negara kita tidak kira daripada pihak Kerajaan mahupun pembangkang. 'Sayalah pemimpin mesra rakyat', kata-kata ini sering terdengar dari mulut pemimpin yang terdapat di Negara kita. Persoalannya, adakah benar pemimpin kita ini mesra rakyat?. Sejauh mana penerimaan mereka terhadap permasalahan rakyat.

3. Kadang-kadang, kita sebagai pemimpin sering alpa dalam mencari kekayaan bagi diri kita dan juga keluarga. Sebagai seorang pemimpin, kita haruslah membantu rakyat selain daripada menyelesaikan masalah yang terdapat dalam kawasan kita. Kebanyakkan pemimpin yang ada pada hari ini sudah jauh menyimpang dari landasan yang sebenar. Matlamat mereka untuk menjadi pemimpin bukanlah disebabkan untuk membantu rakyat tetapi untuk mengaut keuntungan demi kepentingan diri sendiri. Sebab itulah kita lihat begitu payahnya mahu melihat wajah pemimpin kita apatah lagi turun padang untuk melihat sendiri masalah rakyat atau setidak-tidaknya bertanyakan khabar walaupun berat mahu membantu.

4. Kebiasaannya mereka ini akan memberikan pelbagai alasan, dan apabila saat-saat akhir menjelang pilihanraya barulah kita akan nampak wajah pemimpin ini datang untuk bertanyakan khabar dan mengambil tahu akan masalah rakyat yang dihadapi semata-mata untuk mengekalkan kedudukan mereka. Hal ini bukanlah suatu perkara yang baru, ia sememangnya sudah terjadi. Ada juga pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat tidak pernah muncul di kawasan yang diwakilinya tetapi alih-alih muncul pula di kawasan orang lain, malah ditangkap oleh pihak berkuasa kerana terlibat dalam perhimpunan haram dan sebagainya. Pemimpin jenis apa ini?. Sibuk dengan kawasan orang tetapi kawasan sendiri tidak dijaga. Pelik, tapi inilah hakikat pemimpin yang ada pada zaman sekarang.

5. Mereka ini lebih cenderung kepada masalah parti yang mereka wakili dan bukan cenderung kepada masalah yang terdapat di kawasan mereka, sebab itulah kita dapat melihat pemimpin-pemimpin tersebut akan berada di luar kawasan mereka dan bukannya di kawasan mereka sendiri. Saya berharap rakyat dapat membuka mata dan tidak diperbodohkan oleh pemimpin yang sebegini. Sebagai contoh di kawasan saya iaitu DUN Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang Selangor, saya tidak pernah melihat pemimpin ini berada di kawasan Bukit Antarabangsa tetapi sering melihat di kaca televisyen pemimpin ini berada di luar kawasannya dan lebih tertumpu pada masalah yang dihadapi oleh Parti Politik yang diwakilinya.

6. Sebenarnya kita perlukan seorang pemimpin yang boleh menjaga kawasan yang diwakilinya dan bersedia memikul tanggungjawab dengan mengharungi pelbagai masalah tanpa mengeluh atau bekerja sambil lewa. Kita juga memerlukan pemimpin yang mudah didampingi dan bersedia turun padang bagi meninjau masalah yang ada dan menyelesaikan masalah tersebut dengan cepat. Bukan setakat masalah sahaja tetapi ia juga turut serta dalam pelbagai majlis yang dianjurkan oleh rakyat di dalam kawasan mereka. Pemimpin sebaginilah yang perlu kita undi pada masa-masa akan datang.

7. Kepada pemimpin yang ada pada hari ini, ingatlah kedudukan anda tidak akan kekal lama jika sifat pentingkan diri sendiri, ego, bodoh sombong dan berlagak terdapat dalam diri anda. Ingatlah juga jika tidak kerana rakyat memilih anda maka anda tidak akan berada dikedudukan tersebut. Oleh yang demikian berubahlah agar anda menjadi seorang pemimpin yang disanjungi dan bukan menjadi seorang pemimpin yang dibenci.

Friday, May 22, 2009

Sana Sini Orang kita - 'Pejalan Kaki'


1. Manusia sekarang sememangnya sudah kebal dan mereka juga mempunyai tulang yang sangat kuat sehingga tulang-tulang mereka tidak mudah dipatahkan walaupun di langgar oleh kereta kebal. Mana tidaknya lihat saja pejalan kaki di sekitar KLCC, Pasar Seni, Brickfield dan beberapa tempat lain sekitar Kuala Lumpur, kereta harus berhenti untuk memberi laluan kepada Ms & Mr World ini walaupun bukan di lintasan kuda belang.

2. Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah pejalan kaki ini sememangnya sudah tidak sayangkan nyawa mereka sendiri. Isu ini dibangkitkan kerana ia suatu isu yang nyata dan terang-terang terjadi di depan mata kita semua. Mereka melintas jalan mengikut suka hati mereka tanpa melihat kiri dan kanan. Ada sesetengah dari mereka yang melintas jalan dengan gaya yang penuh sopan santun sehinggakan boleh mengambil masa selama 5 minit untuk melintas satu batang jalan sahaja, cuba anda bayangkan betapa sopannya pejalan kaki ini melintas jalan walaupun mereka ini tahu bahaya yang bakal muncul akibat perbuatan bodoh mereka ini.

3. Kebanyakkan pemandu terpaksa memberhentikan kenderaan mereka akibat tingkah laku yang terlalu sopan yang cuba ditonjolkan oleh pejalan kaki di Negara kita ini. Kerajaan telah menyediakan beberapa lampu isyarat pejalan kaki di sekitar Kuala Lumur, tetapi sayangnya pejalan kaki ini tidak menggunakannya malah melintas ikut suka hati mak bapak mereka sehinggakan boleh membahayakan nyawa mereka sendiri. Ada juga di kalangan pejalan kaki yang sememangnya salah dengan melintas tanpa memerhatikan kenderaan yang datang kemudian memarahi pemandu tersebut seolah-olah pemandu kenderaan itu yang bersalah.

4. Inilah karenah pejalan kaki yang terdapat di Negara kita. Apa pun tahniah buat pejalan kaki di Negara kita di mana mereka juga sedang memecahkan rekod untuk meletakkan diri mereka sebagai salah satu penyumbang kepada angka kematian tertinggi di Malaysia. Kita tidak perlulah menunding jari kesalahan kepada orang lain jika diri kita yang sememangnya bersalah. Terimalah kenyataan sememangnya pejalan kaki yang naif ini selalu menyusahkan pengguna jalanraya yang lain. Apa pun renunglah diri kita sendiri agar kita sedar akan bahana yang bakal mengundang jika kita melintas jalan mengikut suka hati kita tanpa memikirkan pengguna jalanraya yang lain. Janganlah kita melintas sambil berlenggang seperti ratu cantik dunia, dan kita seharusnya melintas mengikut tempat yang telah disediakan.

Wednesday, May 20, 2009

Hari AIDS Sedunia


Baru-baru ini Malaysia telah menyambut Hari Semperna Memperingati Hari AIDS Sedunia yang telah diadakan pada 17hb Mei, 2009 bertempat di Masjid Wilayah Persekutan Jalan Duta Kuala Lumpur. Majlis ini telah dianjurkan oleh Malaysia AIDS Council (MAC) dengan kerjasama pihak JAKIM. Saya telah dijemput sebagai tetamu V.I.P oleh pihak MAC untuk sama-sama memeriahkan majlis tersebut selain daripada tetamu kehormat lain seperti YB Senator Dato Jamil Khir Baharom (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), YB Dato Dr. Mashitah (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan beberapa orang kenamaan lain.

Jemputan yang dibuat bukan sahaja terdiri daripada orang Islam tetapi turut dijemput beberapa NGO yang bukan beragama Islam, dan amat membanggakan mereka ini datang penuh dengan adab dan sopan dengan memakai pakaian yang menutup aurat.

Apa yang menariknya, beberapa program keislaman telah diatur bagi menarik orang ramai hadir untuk sama-sama memeriahkan majlis tersebut. Beberapa program telah diatur, antaranya 'Forum Perdana Ehwal Islam' yang dirakam untuk disiarkan melalui TV1 dan Majlis Doa Selamat dan Tahlil, tetapi malangnya program keislaman yang dianjurkan ini tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada orang Islam. Mengapa? Adakah konsep keislaman yang cuba diketengahkan atau kerana penyakit AIDS itu sendiri yang mana orang ramai tidak mahu melibatkan diri untuk hadir ke majlis seumpama itu?. Boleh dikatakan suku daripada tetamu yang hadir merupakan orang yang bukan bergama Islam dan boleh dikira dengan jari kehadiran tetamu yang hadir pada hari tersebut.

Saya dapati masih lagi terdapat stigma dan diskriminasi yang menebal di kalangan kita terhadap pesakit HIV dan AIDS ini. Apakah mereka faham akan penyakit HIV dan AIDS ini?. Mengapa kita takut berhadapan dengan pesakit yang menghidap HIV dan AIDS?. Sememangnya amat naif orang-orang kita terhadap penyakit HIV dan AIDS ini. Mereka menyangkakan penyakit ini boleh berjangkit dengan melalui sentuhan, berkongsi pakaian dan berkongsi makanan. Betapa kolot dan naif sesetengah di antara kita.

Apa pun, saya berterima kasih di atas jemputan ini dan ia membuatkan saya sedar dan insaf serta terasa diri terpanggil bagi membantu mereka yang menghidap penyakit HIV dan AIDS ini.
Saya juga ingin menyeru kepada orang ramai agar janganlah kita menghukum atau meminggirkan pesakit HIV dan AIDS ini. Penyakit ini hanya boleh dijangkiti jika kita berkongsi jarum suntikan dan melakukan sex rambang tanpa menggunakan kondom. Selain daripada itu, penyakit ini tidak boleh dijangkiti. Oleh itu jangan lah kita takut untuk berhadapan dengan pesakit HIV dan AIDS ini.


P/s : Tahniah dan syabas diucapkan kepada pihak OWW Consulting Sdn Bhd di atas penganjuran ' Majlis Makan Malam Amal' yang bakal didakan tidak lama lagi dan sumbangan itu akan diberikan kepada MAC bagi membantu pesakit-pesakit HIV dan AIDS.

Adakah Benar 'Aku Seorang ISLAM'!


Apa itu ISLAM?. Soalan ini saya tujukan kepada beberapa individu Islam yang berlainan usia. Ada di antara mereka tidak tahu apa itu Islam, ada pula di antara mereka menyatakan Islam itu sebuah agama. Tidak kurang hebatnya ada juga yang menyatakan Islam itu 'Islamlah' agama bagi orang melayu. Tersenyum saya seketika dan berbisik di dalam hati apakah bangsa cina tidak ada yang Islam?, atau bangsa-bangsa lain di dalam dunia ini tidak ada yang beragama Islam?, takkanlah Islam itu melayu dan melayu itu Islam?.

Apa pun jawapan yang diberikan sudah membuatkan saya insaf kerana terpancar kejahilan sesetengah di antara kita terhadap Islam itu sendiri, belum lagi di tanya akan hal-hal yang lain berkaitan dengan asas-asas agama.

Maafkan saya terlebih dahulu, saya bukan lah nak katakan diri ini terlalu pandai atau arif dalam bidang agama Islam, tetapi alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi kerana limpah kurnianya saya faham dan masih belajar dan akan terus belajar berkenaan ilmu Islam yang sungguh mulia dan cantik ini. Penulisan berkenaan Adakah Benar 'Aku Seorang Islam' merupakan kisah benar yang ingin saya kongsikan bersama rakan-rakan semua.

Sebagai seorang Islam apakah benar kita layak menderhaka kepada Ibu kita sendiri?. Apakah kita juga berhak menentukan Syurga dan Neraka untuk individu lain?. Siapa kita di atas muka bumi ini untuk melakukan hal-hal sedemikian?. Di dalam surah mana yang terkandung di dalam Al-Quran dan hadith mana yang menyatakan kita boleh melakukan hal-hal tersebut?.

Kita sebagai manusia hanya boleh menasihati sesama Islam bagi tujuan kebaikkan tetapi apabila individu tersebut tidak mahu mendengar nasihat kita, apakah kita patut menghukum individu tersebut?. Bukankah Islam itu mengajar kita jangan berputus asa dalam berjihad atau berdakwah. Berdakwah ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah, bukan dengan hanya sekali menasihati dan terus semua manusia sujud ke bumi. Lihat saja pada zaman Nabi.

Ramai di kalangan Nabi-Nabi kita mengharungi kesusahan dan kepayahan di dalam menyebarkan Agama Allah ini, walaupun mereka ini mempunyai mukjizat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T, apatah lagi kita ini sebagai manusia biasa sudah pasti lebih payah untuk menyebarkan Agama Allah tambahan pula zaman hari ini semakin maju dengan pelbagai pemikiran yang ada di dalam kotak minda manusia itu sendiri dan tidak ada Nabi untuk membimbing kita ke jalan yang benar.

Apakah benar Aku Seorang Islam?.

Jika kita menolak dunia dan mahukan akhirat sahaja boleh diibaratkan seperti kita menerima Al-Quran tetapi menolak Hadith. Mengapa saya menyatakan sedemikian?. Islam menuntut kita beramal di muka bumi ini, laksanakan tanggungjawab kita bukan sahaja kepada Agama, tetapi Bangsa dan Negara juga. Kita tidak akan terlepas dari seksaan akhirat jika kita abaikan tanggungjawab kita terhadap ibu bapa, tanggungjawab kita kepada suami isteri jika kita sudah berkahwin, tanggungjawab kita terhadap anak-anak jika kita mempunyai anak dan pelbagai tanggungjawab lagi yang perlu kita lunaskan. Semua ini merupakan hal dunia dan kita harus laksanakan tanggungjawab di dunia ini supaya kita terlepas seksaan di akhirat kelak.

Itu baru soal tanggungjawab, belum lagi kita masukkan hal-hal lain seperti menutup aurat, kesalahan kecil dan besar yang kita lakukan terhadap manusia lain seperti memaki hamun dan sebagainya. Hal-hal ini semua akan dihitung di akhirat nanti. Apakah kita ingat hal-hal ini boleh terlepas dengan begitu mudah?. Kesemua hal-hal ini merupakan hal-hal dunia, kerana itulah kita perlu belajar ilmu dunia dan akhirat supaya kita terus berada di dalam landasan Islam supaya dapat membantu individu lain agar berjaya di dunia dan di akhirat juga. Harus diingat, hal dunia yang dimaksudkan ini bukanlah hal-hal yang penuh keasyikan yang boleh melalaikan yang perlu kita pelajari, hal-hal yang dimaksudkan merupakan hal-hal yang dituntut di dalam Islam. Banyak lagi yang perlu kita tahu dan kita harus lakukan apabila hidup di dunia Allah ini.

Persoalannya adakah benar Aku Seorang Islam?. Wallahualam.

Monday, May 18, 2009

Sana Sini Orang kita - 'Pemandu Teksi'


1. Semakin majunya Negara kita semakin mundurlah pemikiran dan tingkah laku pemandu-pemandu teksi kita. Mana tidaknya, mesin tambang yang begitu canggih yang telah dibuat khas bagi memudahkan kesemua pemandu-pemandu teksi di Malaysia tidak digunakan dengan cara yang terhemah, tambahan lagi ada sesetengah daripadanya langsung tidak mahu menggunakan mesin tambang tersebut, bukan setakat tidak mahu menggunakan mesin tambang malah mereka juga memilih pelanggan dan lokasi yang hendak ditujui.

2. Sebagai salah seorang rakyat Malaysia, amatlah mendukacitakan dan memalukan akan perihal sesetengah pemandu teksi di Negara kita yang sememangnya menjatuhkan imej Negara di mata dunia. Pemandu teksi boleh dianggap sebagai ejen pelancongan yang amat berkesan bagi memastikan kesemua pelancong mendapat informasi yang tepat selain menjadi contoh dan mempamerkan imej Malaysia yang cukup terkenal dengan sikap yang lemah lembut, berbudi bahasa dan tinggi hemahnya, tetapi apa yang cuba mereka lakukan adalah dengan meletakkan harga yang tinggi tanpa menggunakan 'meter' (mesin tambang) dan ia akan mencemarkan imej orang kita apatah lagi nama Malaysia.

3. Saya juga ingin menyelar Kesatuan Teksi Malaysia yang mana amat lah tidak patut menyokong akan tambang teksi dinaikkan dan tidak langsung memantau akan tingkah laku ahli-ahlinya. Bagi saya tambang teksi yang sedia ada sekarang ini amatlah berpatutan dan sebenarnya tambang itu boleh membawa pendapatan yang cukup lumayan. Bagi pemandu-pemandu yang selalu bersungut akan tambang yang dikenakan sekarang tidak begitu relevan adalah amat tidak berasas. Mengapa saya menyatakan sedemikian?.

4. Saya telah membuat kaji selidik terhadap hampir 20 orang pemandu teksi dan saya juga telah menjadi pemandu teksi selama sehari untuk membuktikan kata-kata saya ini benar. Rata-rata pemandu teksi yang saya soal ini, kebanyakkan mereka mendapati harga tambang yang diletakkan pada hari ini boleh meraih pendapatan yang besar. Ada di antara mereka boleh meraih pendapatan sehingga mencecah RM3,000 sebulan. Bagaimana mereka ini boleh meraih pendapatan yang agak lumayan dan yang lain-lain tidak boleh?.

5. Kebanyakkan pemandu teksi yang mengatakan mereka ini tidak boleh mendapat pendapatan yang lumayan adalah sesuatu yang tidak masuk akal kerana mereka-mereka ini merupakan golongan kaki judi dan kaki perempuan. Ada sesetengah daripada mereka menyertai dan mempunyai kumpulan kongsi gelap dengan melakukan kerja-kerja yang tidak elok. Lihat saja setiap malam di Jalan P.Ramlee, berderet tersusun teksi-teksi yang sememangnya angkuh dan degil dengan meletakkan teksi-teksi mereka di bahu-bahu jalan tanpa mempedulikan kesesakan lalulintas akibat perbuatan mereka. Cubalah anda naik teksi di sana dan lihat apa yang akan dilakukan oleh mereka. Hal ini benar, Kesatuan Teksi Malaysia juga tahu akan hal ini tetapi mereka ini juga sama sahaja. Tidak ada perbezaan, kerana mereka ini juga di kalangan pemandu-pemandu teksi juga tambahan pula mereka hanya mempedulikan pulangan wang yang besar tanpa mempedulikan kesusahan yang perlu ditanggung oleh pelanggan.

6. Oleh yang demikian, saya menyarankan agar pihak Kerajaan bertegas dalam isu pemandu teksi ini. Pemandu-pemandu teksi yang akhlak sebegini yang pentingkan diri sendiri perlu dinyahkan kerana ia akan merosakkan keseluruhan pemandu teksi yang terdapat di Negara kita yang sememangnya jujur dalam mencari rezeki tambahan pula ia juga akan merosakkan nama Malaysia di mata dunia. Pepatah melayu ada menyatakan 'dek kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'.

Tuesday, May 12, 2009

Selamat Hari Jadi


Tanggal 13hb Mei 1980 menjadi sejarah dalam hidup ku di mana aku telah dilahirkan. Kelahiran ku telah disambut oleh seorang doktor lelaki berbangsa punjabi di sebuah klinik swasta yang bernama Klinik Samuel yang terletak di jalan Peel Kuala Lumpur. Aku dilahirkan tepat jam 8.45pm, kerna itulah kulit ku kelihatan hitam manis. Jika aku dilahirkan pada jam 10pm ke atas maka gelap gelita lah aku nampaknya. Pendaftaran surat kelahiran telah dibuat pada 29hb Mei 1980 pada jam 2.15pm di kawasan kelahiran aku iaitu di Wilayah Persekutuan dan kawasan kecil di Balai Polis Pudu Kuala Lumpur.

Aku dibesarkan di dalam keluarga yang agak sederhana pada ketika itu. Ibuku seorang mualaf (muslim baru atau saudara baru) dan dilahirkan serta dibesarkan di Kuala Lumpur. Beliau sebenarnya berbangsa punjabi dan dikenali sebagai Cital Kaur A/P Ishar Singh. Ibuku memeluk Islam selepas berkahwin dengan ayahku yang sememangnya berbangsa Melayu dan beragama Islam. Semasa aku dilahirkan, ibuku ketika itu baru berusia 23tahun dan aku telah menjadi anak ke-3 daripada 4 orang adik beradik.

Itulah serba sedikit berkenaan asal usul ku untuk tatapan umum. Aku berharap di hari ulang tahun kelahiran ku ini akan mendatangkan seribu rahmat untuk ku, diberikan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur dengan kehendakNYA. AMIN. Aku amat bersyukur ke hadrat Illahi atas limpah kurniaNYA dengan memberi kenikmatan, kebahagiaan dan segala-galanya yang telah membawa aku sehingga ke tahap ini walaupun pelbagai masalah dan rintangan yang terpaksa aku harungi. Ujian demi ujian akan terus berlaku dan itulah yang membuatkan aku sedar siapa diri aku dan kekuasaan Allah itu tiada tandingannya.

Dengan rasa insaf dan rendah diri, aku ingin memohon beribu-ribu kemaafan kepada semua kenalan sama ada rapat mahupun tidak yang telah mengenali diri ini agar dapat memaafkan setiap kesalahan kecil mahupun besar, zahir atau pun batin yang telah aku lakukan terhadap kalian tidak kira dari segi percakapan, perbuatan dan sebagainya. Aku hanyalah manusia biasa yang tidak pernah terlepas dari membuat kesilapan.

Monday, May 11, 2009

Aku & Dia


Bagaikan balam dua setengger
Bagaikan pinang pulang ke tampuk
Bagaikan sirih pulang ke gagang
Bagaikan keris pulang ke sarungnya

Kalau disukat sama banyaknya
Kalau ditimbang sama beratnya
Kalau diukur sama panjangnya
Kalau ditaksir sama harganya

Umpama emas sama beratnya
Umpama intan sama mulyanya

Sama setara duduk tegaknya
Sama sebanding asal usulnya
Itulah Aku & Dia

Tiada kemaafan

Aku sedar siapa diri ini
berlagu sepi terus abadi
kasih suci hilang menyepi
tiada tangis aku sesali

Segenap pelusuk dunia tahu diri ini
perkataan maki kau palitkan di hati
bisanya amat hingga terguris
tiada kemaafan untuk kau kan ku beri

Berakhir sudah cerita ini
tinggal lah ia sekadar memori
syair gurindam akan terhenti
buat selamanya aku pasti

Sunday, May 10, 2009

Terlalu Pandai


Manusia ini apabila dah terlalu pandai, dia akan merasa dirinya betul dalam setiap apa yang dia lakukan. Setiap benda yang berlaku akan ada sebab, logika dan nyata akan menjadi pertimbangan dalam pemikiran orang yang terlalu pandai ini. Tidak bersetuju pada pemahaman agama yang tertulis di dalam Al-Quran adalah orang yang amat malang dan inilah masalahnya apabila kita dah terlalu pandai sehinggakan hal-hal agama boleh dicongak mengikut pemahaman sendiri.

Orang yang terlalu pandai juga akan sentiasa berasa dirinya hebat, setiap apa yang dia lakukan dia tidak perlu meminta pendapat orang sedangkan pendapat dia kekadang tidak boleh diguna pakai pun. Inilah masalah yang dihadapi orang yang terlalu pandai.

Kita harus ingat sehebat mana diri kita pasti akan ada orang yang lebih hebat daripada kita. Kita ini hanyalah manusia dan bukannya 'Tuhan', jadi sedarlah diri ini sebelum terlambat. Kita tidak boleh wujudkan kepercayaan secara mencongak atau mengikut pemahaman kita. Tertulisnya Al-Quran itu adalah untuk memberi petunjuk dan jalan yang benar kepada umat Islam bukannya untuk kita berfikir dan menimbang tara kemudian membuat kesimpulan yang salah sedangkan fakta sudah tertulis di dalam Al-Quran itu sendiri.

Hargai Jasa Orang


Kita sering lupakan akan jasa orang yang telah berbudi pada kita malah ada pula yang sengaja mencari musuh terhadap orang yang telah berjasa padanya. Manusia jenis apakah ini?. Mempertikaikan benda yang tak sepatutnya dipertikaikan. Kesalahan terus diletakkan pada individu yang tidak bersalah itu.

Kita patut memahami dan berterima kasih di atas kelakuan baik individu lain terhadap kita bukannya mencari masalah dan terus menghukum manusia yang tidak bersalah dengan sewenang-wenangnya. Inilah perihal manusia yang tidak kenang budi yang hidup tanpa menghargai jasa orang yang banyak memberi bantuan tidak kira dari segi kewangan mahupun bantuan lain yang tidak melibatkan kewangan seperti tenaga, masa dan sebagainya.

Ubahlah perangai kita agar orang akan lebih menyayangi diri kita. Apa pun yang anda ingin lakukan, fikir dahulu kebaikkan dan keburukkan sebelum melakukan sesuatu agar ia mendatangkan kebaikkan kepada kedua-dua belah pihak. Fahamilah situasi dan kematangan perlu ada dalam apa jua pendekatan yang hendak kita lakukan.

Jangan bermain dengan api


1. Manusia amat suka bermain dengan api, tambahan lagi apabila dah terbakar dicampakkan dengan minyak bagi menyemarakkan lagi apa itu. Ini lah sifat-sifat yang tidak sepatutnya ada dalam diri kita. Kandang-kadang kita lupa yang mana diri kita ini selalu menjadi masalah kepada individu lain, dengan erti kata lain kita ini menjadi penyebab akan sesuatu masalah.

2. Apakah yang ingin kita hendakkan dari seseorang sehinggakan ada timbul pelbagai sifat yang jahat yang membolehkan perkara-perakra yang tidak diingin terjadi?. Sesetengah dari kita sentiasa merasa dirinya betul, apabila ini terjadi maka tidak hairanlah mengapa perkara-perkara yang tidak baik terjadi seperti mencari musuh, memaki hamun dan sebagainya. Hal yang kecil diperbesarkan dek kerana 'stress' (tekanan) atau ketidakpuashatian terhadap individu lain. Semua ini disebabkan pemikiran negatif yang terlalu sangat dan pertikaian akan hal yang tidak sepatutnya berlaku.

3. Perbagai persoalan timbul di dalam diri, mengapa?, kenapa?, siapa', itu dan ini dan lain-lain lagi. Apabila persoalan-persoalan ini timbul dan ditambah pula dengan keinginan yang tidak kesampaian maka mula lah pemikiran akan menjadi negatif kerana terdapat tekanan di situ, dan apabila tekanan ada ditambah lagi dengan perasaan marah maka timbul lah perasaan-perasaan lain seperti syak wasangka dan sebagainya dan ini akan menjadi satu pakej untuk melibatkan diri dengan hal-hal yang tidak sepatutnya berlaku. Inilah punca-punca penyebab berlakunya kekacauan terhadap individu lain. Samalah juga dengan hal dalam pasangan yang bercinta. Kesilapan terus dilakukan dan ketidakpercayaan terus timbul.

4. Jika kita tidak ubah semua ini, maka kita dapat lihat perpecahan akan berlaku dan akan menampakkan keretakkan dalam sesuatu hubungan, tidak kira sama ada hubungan istimewa, sahabat atau lain-lain. Oleh yang demikian, ubahlah diri kita agar menjadi lebih peka terhadap pasangan anda, hapuskan semua perasaan yang tidak baik. Wujudkan perasaan dan sifat-sifat murni agar sesuatu hubungan itu terukir indah dan musuh tidak akan wujud.

Friday, May 8, 2009

Perihal Manusia


Baru-baru ini tercetus sedikit perbezaan pendapat akan perihal perangai manusia. Agak susah untuk kita memahami seseorang individu tersebut. Kita bukanlah tuhan yang boleh menilai manusia itu dengan sekelip mata. Kita hanyalah manusia biasa yang boleh menilai manusia itu hanya dengan mengenali seseorang secara dekat. Masa diperlukan untuk kita mengenali sesiapa sahaja, baik kawan, pekerja, bos dan sesiapa sahaja.

Sesetengah manusia ini apabila diberi peluang, mereka tidak pernah menghargai peluang yang diberikan malah tidak pernah bersyukur juga. Apabila terdapat masalah, barulah kita sedar bahawasanya individu ini tidak diperlukan di dalam komuniti atau sesebuah organisasi tersebut maka dengan itu individu ini perlu disingkirkan sebelum ia menjadi virus yang boleh merosakkan sesebuah organisasi. Hal yang lain pula, jika seseorang datang kepada kita dan memohon pertolongan, adakah perlu kita terus menyikirkan orang tersebut sebelum dia meminta apa-apa pertolongan dari kita, tambahan pula kita langsung tidak mengenali orang tersebut?. Apakah kita ini manusia yang berhati binatang jika kita tidak membantu orang yang berada di dalam kesusahan?.

Di mana sifat murni kita sebagai seorang manusia yang mempunyai hati yang bersih?. Mahu atau tidak kita harus memberi peluang terhadap individu tersebut menyatakan masalah yang dihadapi, selebihnya bergantung pada budi bicara dan kemampuan kita. Jika kita dapati ia boleh memudaratkan kita, maka kita harus jujur dengan menyatakan 'maaf, saya tidak dapat membantu anda kerana saya tidak mampu'. Itulah sepatutnya yang perlu kita lakukan jika kita benar-benar mempunyai hati dan perasaan.

Sesetengah manusia beranggapan kita tidak harus memberi peluang langsung kepada mana-mana individu, tetapi jika peluang tidak diberikan maka bagaimana untuk kita tahu akan semua hal zahir dan batin berkenaan individu tersebut. Jangan lah kita menilai manusia itu hanya dari pandangan luaran. Manusia ini datang dari pelbagai, memang tidak dinafikan ada manusia yang berhati syaitan tetapi terdapat juga manusia yang berhati mulia.

Oleh yang demikian, mahu atau tidak kita harus mendengar dahulu masalah yang mereka hadapi, barulah kita membuat pilihan sama ada mahu membantu atau pun tidak. Kadang-kadang jika kita sudah terlalu baik kepada individu tersebut dengan ikhlas memberi bantuan dan balasan yang diberikan agak mengecewakan kita, maka individu ini harus disingkirkan. Kita tidak perlu berdampingan dengan individu yang tidak tahu mengenang jasa. Akal diberikan untuk kita berfikir dan membuat kebaikkan bukan untuk kita menggunakan akal kita ke arah yang boleh memudaratkan diri dan individu lain.

Tuesday, May 5, 2009

Mat Rempit


Tindakan 'Mat Rempit' berlumba secara haram di jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur pada setiap malam jumaat dan malam sabtu boleh mengakibatkan kecelakaan terhadap individu lain dan ia juga boleh mencemarkan imej Negara.

Masalah mat rempit ini bukan lah suatu masalah yang baru. Masalah ini juga sukar di dibendung kerana ia akan cepat menular kepada remaja lain dan ada juga seperti 'pass batten' (remaja yang sudah meningkat umur yang telah meninggalkan dunia rempit dan di ambil alih oleh remaja yang baru hendak meningkat yang akan merempit) ia juga boleh diibaratkan seperti sesuatu perkara yang wajib yang harus dilakukan oleh seseorang remaja apabila usia mereka mencapai status remaja.

Apakah masalah ini begitu sukar dibendung?. Sebenarnya, ia tidaklah sukar jika hukuman berat dilaksanakan terhadap mana-mana mat rempit. Hukuman yang tersedia ada tidak cukup berat untuk meghukum kesalahan mat rempit yang sememangnya semakin berleluasa ini, kerna itulah Kerajaan harus mengkaji semula hukuman terhadap mat rempit ini.

Apa yang perlu dilakukan adalah kesungguhan pihak-pihak yang berwajib untuk membendung gejala merempit ini. Jika tindakan tegas tidak diambil dan isu mat rempit ini menjadi isu musim maka saya percaya isu ini tidak ada kesudahannya. Ia akan terus berlarutan selagi pihak-pihak yang berwajib hanya sekadar melepas batuk di tangga. Mereka lebih suka bercakap daripada melaksanakanya. Mereka ini hanyalah hangat-hangat tahi ayam dan 'cakap tak serupa bikin'.

Pihak berwajib terutama pihak Kerajaan haruslah memandang serius akan perkara ini. Perketatkan undang-undang sedia ada. Bagi kesalahan pertama, pesalah haruslah dihukum penjara 6 bulan, sebatan 3 kali dan motosikal mereka dirampas tanpa memulangkannya semula manakala bagi kesalahan ke-2 yang diulangi pula pesalah harus dikenakan hukuman penjara setahun, sebatan 6 kali, motosikal dirampas tanpa memulangkannya dan lesen ditarik balik. Saya percaya jika hukuman berat ini dilaksanakan maka gejala merempit ini dapat dibendung dengan jayanya.

Misi & Pelaksanaan


Kita lihat dari zaman pemerintahan YAM Tunku Abdul Rahman sehinggalah ke zaman pemerintahan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi terdapat misi-misi yang dilaungankan oleh setiap pemimpin yang memerintah Negara Malaysia ini. Apakah misi yang dilaungkan itu tercapai dan di mana perlaksanaannya atau hanya sekadar kata-kata di bibir bagi mendapatkan populariti?. Baru-baru ini seorang lagi pemimpin Negara iaitu YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyatakan misi '1 Malaysia', apakah ini juga hanya sekadar laungan atau ia benar-benar satu misi yang ada perlaksanaannya.

Untuk mencapai sesuatu misi itu, ia haruslah mendapat sepenuh kerjasama dari semua pihak termasuklah rakyat itu sendiri. Bagaimana rakyat dapat membantu?. Rakyak haruslah selari dan sependapat dengan pemimpin bagi merealisasikan hasrat murni setiap pemimpin yang melaungkan misi mereka. Kesemua misi yang dilaungkan mempunyai impak yang besar kerana misi tersebut adalah daripada pemimpin no.1 Negara. Oleh yang demikian, setiap lapisan masyarakat dari peringkat bawahan sehinggalah ke peringkat atasan haruslah senada dan seiring dengan misi tersebut, ini membolehkan misi tersebut dicapai dengan jayanya.

Kita lihat 'Wawasan 2020' yang diilhamkan oleh YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad, apakah misi itu diteruskan oleh pemimpin Negara sekarang?. Di mana kesinambungan misi ini, jika pemimpin masih lagi ditakuk lama. Negara sedang menuju ke arah Negara maju tetapi pemimpin masih lagi mundur tanpa memajukan bangsa dan Negara.

Saya lihat, misi itu ada tetapi perlaksanaanya tidak ada. Maka misi tanpa perlaksanaan akhirnya misi itu terkubur begitu saja. Rakyat pula asyik memberontak dan ketidakpuashatian sesetengah pihak terhadap pemimpin terus berleluasa. Mengapa hal ini terjadi?. Apakah Negara boleh mencapai sesuatu misi tanpa ada pihak yang merasa tidak puashati?. Agak mustahil jika rakyat terus membantah tanpa mengambil kira kebaikkan akan sesuatu misi itu sendiri. Setiap misi ada baik dan buruknya (bagi sesetengah pihak) tetapi apabila ia dapat dijayakan oleh semua pihak dengan berfikiran positif maka saya percaya misi itu akan mendatangkan kebaikkan dan dapat dijayakan dengan sepenuhnya.

Percayalah Negara kita tidaklah seteruk negara-negara lain. Kita amat bertuah dilahirkan di Malaysia. Cuba anda lihat apa yang terjadi di Negara jiran?. Apakah kita juga menginginkan hal yang sama terjadi?. Jika tidak, marilah kita semua berganding bahu, bersatu hati dan memikul tanggungjawab kita demi menaikkan martabat bangsa dan Negara kita yang kita cintai ini. Marilah kita menjayakan kesemua misi-misi yang diilhamkan oleh pemimpin Negara kita agar kemakmuran dan kejayaan dapat kita kecapi untuk anak cucu kita nanti.

Tahniah


Sekalung tahniah kepada abang saya Norman Zahalan yang baru saja dilantik ke jawatan Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang baru-baru ini. Saya doakan agar abang saya sentiasa merendah diri dan dapat menjalankan tugas dan amanah yang diberikan dengan ikhlas dan dengan penuh rasa tanggungjawab demi membantu rakyat yang memerlukan pertolongan.

Saya berharap agar beliau tidak mengamalkan rasuah dan dapat membantu sedaya upaya dengan menaikkan martabat bangsa dan Negara yang kita semua cintai ini. Jangan lah kita lupa akan asal usul kita apabila kita sudah ada kedudukan. Pepatah melayu ada menyatakan hidup ini ibarat roda, adakalanya kita berada di atas dan adakalanya kita berada di bawah. Bila kita berada di atas, maka ingatlah orang yang berada di bawah. Kelak nanti apabila kita berada di bawah kita akan di sanjung dan bukan di maki. Oleh yang demikian, kita haruslah senantiasa mengingati bahawa diri ini tidak ada yang kekal abadi.

Ikutlah resmi padi, makin tunduk makin berisi. Semoga beliau mencapai kemuncak di dalam kerjaya politik beliau. Sekali lagi ucapan tahniah di atas kejayaan menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang.