Tuesday, February 16, 2010

Perihal Orang Kita

Dunia hari ini semakin canggih, dengan terdapatnya pelbagai teknologi dapat memudahkan kita untuk mendapatkan pelbagai jenis maklumat. Apa pun yang ingin saya sampaikan di sini adalah berkenaan dengan kesahihan sesuatu maklumat tersebut. Apakah kita sedar bahawasanya terdapat pelbagai jenis maklumat yang tersedia ada belum tentu benar, kesahihannya itulah yang menjadi tanda tanya.

Rata-rata di kalangan kita lebih gemar akan gosip liar. Kesengsaraan orang kita jadikan bahan jenaka. Kita bercakap berkenaan hal-hal politik dan sebagainya seolah-olah kita merupakan orang polik atau sebahagian daripadanya sedangkan kita hanya rakyat biasa yang mambacanya melalui akhbar-akhbar tempatan atau di laman-laman web di internet. Apa yang menjadi kehairanan saya ialah, mereka ini lebih terarah kepada hal-hal yang mempunyai kontroversi seolah-olah mereka ini tidak takut akan dosa dan bala yang bakal menimpa mereka.

Sebagai contoh, seorang pekerja bank yang bekerja sebagai kerani bank boleh bercerita tentang hal-hal politik berkenaan dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri macam dirinya merupakan anak kepada Perdana Menteri. Inilah yang dikatakan manusia yang hidup di zaman serba moden. Memang benar rakyat tidak bodoh tetapi rakyat memperbodohkan diri dek kerana mainan politik orang atasan dan rakyat bawahan menonong ikut tanpa memikirkan kebenaran atau kesahihan sesuatu berita itu. Usah kita pergi jauh, dikalangan kita juga terdapat manusia yang sebegini. Ada di antara kenalan kita yang bercerita tentang diri kita seolah-olah mereka merupakan adik-beradik kita atau teman karib kita yang sudah mengenali kita lebih dari 15 tahun. Tambahan pula cerita yang disampaikan kepada orang lain itu adalah tidak benar sama sekali dan yang menjadi mangsa adalah diri kita dan yang paling bodohnya terdapat manusia yang mempercayai kata-kata manusia tersebut. Inilah perihal seorang manusia yang bertamadun dan cerdik.


Seperkara lagi, apa yang kita lihat tak semestinya suatu kebenaran, dan kita tidak boleh terus menghukum manusia itu selagi kita tidak bersemuka dengan orang tersebut dan menanyakan akan perkara yang tidak menyenangkan hati kita. Ada pula yang tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan dan mereka mengharapkan jawapan itu mesti sama dengan jawapan mereka. Inilah yang dinamakan manusia yang telah dikurniakan kelebihan tetapi telah di salah gunakan.

Memang benar tidak ramai yang boleh menerima sesuatu kebenaran tetapi hakikatnya diri kita tidak dihimpunkan dengan pelbagai jenis dosa. Sepatutnya kita sebagai manusia yang bertamadun perlu memahami konsep kehidupan itu sendiri. Berpijaklah di bumi yang nyata, menerima kebenaran akan sesuatu perkara dan menilai secara terperinci barulah kita faham akan kehidupan yang sebenar. Jangan lah kita berkata 'aku amat mengenalinya' sedangkan anda baru sahaja mengenali beliau selama 1 bulan itu pun hanya 3 kali berjumpa dan tidak sampai 10 minit pun duduk bersama kemudian sudah boleh menilai orang itu sedalam-dalamnya. Lucu bukan?, tapi inilah realiti yang terdapat dalam kehidupan kita.

Terimalah hakikat kehidupan, bahawasanya manusia itu perlu mempelajari dan mendalami setiap apa yang dilihatnya dan meilai serta berpijaklah pada kebenaran. Jangan sampai bumi yang dipijak berlumuran darah dan kita enak menyusu ditepian mandi. Memfitnah dan melakukan kezaliman pada setiap manusia itu merupakan satu dosa besar dan tidak akan terlepas dari azab kubur. Ingatlah, hari ini hari 'engkau' dan hari 'aku' pasti akan datang. Bermaaf-maafan lah sesama kita agar apa yang salah dapat diperbetulkan sebelum terlambat dan bersatulah kita demi memartabatkan maruah dan jati diri kita untuk Bangsa, Agama dan Negara.

Salam Hormat